• My Cahaya

    Lari Dari Kegelapan Menuju Cahaya

Saturday, 4 August 2012

Tanda Kiamat – Bencana Alam Sering Terjadi


Berita Alam Ghaib 29: Tanda Kiamat – Bencana Alam Sering Terjadi


Sambungan dari entri: Berita Alam Ghaib 28 (sila klik jika belum membacanya lagi)

Menurut keterangan Syaikh Zainul Abidin dalam kitabnya Kasyful Gaibiah, apabila saat kiamat akan tiba, maka akan terjadilah bencana alam di kota Makkah dan Madinah. Kota Makkah akan rosak binasa kerana peperangan. Katanya kota makkah akan hancur kerana peperangan dengan tentera dari keturunan Habsyah (Benua Afrika). Sebaliknya Madinah pula akan menderita kelaparan, sehingga penduduknya banyak yang mati. Basrah akan mengalami banjir, Kaufah turut terjadi peperangan, Armaniah dengan banjir berlumpur, Khurasan, Isfahan dan Persia (Iran) pula akan terjadi perang saudara, Yaman dengan serangan hama belalang, India dengan banjir besarnya, Afrika, Tunisia dan Mesir akan menderita akibat sungai Nil mengering.

Demikianlah  yang termaktub di dalam Kitab Kasyful-Gaibiah.

Ramai orang Islam akan menderita ketika saat kiamat benar-benar menghampiri (kemusnahan dunia)

Berkata Arif Asy-Sya'rani riwayat Atturmudzi dari Sayidina Ali r.a, Nabi bersabda :

Idzaa kaanal mughnimu daulan wal aamaanatu mughniman wazzakaatu maghroman wa athoo'ar rojulu zaujatahu wa'aqqo ummahu wajappa abaahu wartapi'atil ashwaatu filmasjidi wakaana za'iimul qaumi ardza lahum wa akromar rojulu mukhoofaatu syarrihi wasyuribatil khomru walubsul hariiri wattakhodzatil qoinaatu wal ma'aazifu wala'ana aakhiru hadzihil ummati awwa lahaa falyar taqibuu 'ingda dzalika riihan khomroo u au khosfan au mashan (rowahu turmudzi)
Apabila terjadi harta ghanimah dimiliki oleh kerajaan, harta pusaka menjadi rebutan, berzakat dianggap rugi, orang lelaki tunduk kepada isterinya, anak derhaka terhadap ibunya, mensia-siakan bapanya, orang berteriak-teriak di dalam masjid kerana kurangnya pengetahuan, orang lelaki dihormati kerana takut akan kejahatannya, di minumnya arak, orang lelaki memakai kain sutera, diangkatnya perempuan menjadi ahli biduan dan pemimpin kesenian, umat sekarang mengejek terhadap umat yang terdahulu, mencela ulama-ulama terdahulu. Maka tunggulah olehmu sehingga datangnya angin yang merah, atau tenggelamnya dunia ini atau manusia "berbuat seperti haiwan"

Demikianlah di antara tanda-tanda kiamat yang lain, dimana ia telah pun disebutkan dalam hadis, maka kini sudah nampak oleh mata kita. Berhati-hatilah…


Sekian Terima Kasih


Bersambung di entri: Berita Alam Ghaib 30

My Cahaya Post – Ogos 2012 (Ramadhan)

Share:

Thursday, 2 August 2012

Muqaddimah Tanda-Tanda Kiamat Siri 2


Berita Alam Ghaib 28: Muqaddimah Tanda-Tanda Kiamat Siri 2


Sambungan dari: Muqaddimah Tanda-Tanda Kiamat Siri 1 (sila klik jika belum membacanya)

Para pembaca yang budiman,

Sesungguhnya apa yang telah diterangkan oleh Rasul junjungan kita Rasulullah saw mengenai tanda-tanda kiamat, kini telah terbukti jelas keadaannya di zaman sekarang ini. Jika kita renungkan semula, apa yang dikatakan oleh Nabi Muhammad itu dengan situasi dunia dewasa kini, benar-benar demikian keadaanya seperti mana kenyataan hadis-hadis berkaitan akhir zaman.

Sekali lagi penulis nyatakan, yang dikatakan tertahannya ilmu agama, adalah ilmu agama Islam. Maksudnya bukan ilmu itu tidak tersebar, bahkan ia semakin tersebar luas. Agama Islam telah tersebar di serata dunia malah dengan pelbagai cara, seperti melalui surat khabar, blog, facebook, television, buku-buku agama, ceramah-ceramah pendek kata dimana-mana sahaja umat Islam berada dari kota sehinggalah ke desa. Seruan solat sentiasa dikumandangkan melalui television dan juga radio, tetapi masyarakat pada masa kini hanya layan acuh tak acuh sahaja terhadap seruan azan yang berkumandang itu, mereka lebih suka melayan lagu Lady Gaga berbanding seruan azan.

Hampir kesemua penduduk Malaysia dari Sabah dan Serawak sehinggalah ke negeri-negeri di Semenanjung Malaysia adalah pengganut agama Islam. Namun yang mampu membaca Al-Quran peratusannya hanyalah 50% sahaja. Apalagi yang mampu menterjemahkan Al-Quran, mungkin tidak sampai 10%, sedangkan Al-Quran itu adalah berisi undang-undang hidup atau peraturan hidup bagi seluruh umat manusia untuk keperluan dunia dan akhirat.

Malaysia kekurangan insan yang mampu membaca Al-Quran degan tajwid yang benar-benar baik

Secara umumnya, kebanyakkan masyarakat tahu bahawa Al-Quran itu adalah berbahasa arab, namun, yang berminat untuk mempelajari bahasa arab sangatlah sedikit. Untuk menguasai bahasa arab itu, mereka haruslah mengorbankan masa, paling sedikit mungkin dua tahun. Oleh kerana itu, timbulah perasaan segan untuk mempelajari bahasa tersebut. Faktor yang lain pula mungkin ibu-bapa yang beragama Islam tidak menaruh perhatian untuk menyekolahkan anak-anaknya di madrasah atau sekolah beraliran agama. Mereka memberikan alasan bahawa, agama Islam sudah memadai di berikan pelajarannya pada sekolah rendah dan menengah sahaja.

Jika mereka menyekolahkan anak-anaknya di sekolah-sekolah kebangsaan biasa, dari peringkat sekolah rendah sehinggalah sekolah menengah, maka perbelanjaannya adalah kurang tetapi silibus untuk subjek agama Islam cukup hanya untuk perkara asas seperti rukun Iman, Islam, rukun Sembahyang, cara berwudhu dan sebagainya. Demikianlah kebanyakan ibu-bapa masyarakat Islam mendidik anak-anaknya. Bagaimanakah anak itu akan dapat melaksanakan perintah agama dengan baik, jika pengetahuan agamanya kurang sempurna?

Begitulah punca utama kenapa ilmu Agama kini menjadi agak terbatas, dan tidak sama langsung seperti zaman kegemilangan Islam ketika dahulu, justeru inilah penyebab utama manusia menjadi tidak segan-silu melakukan perbuatan yang dilarang dalam agama seperti bercium mulut di khalayak ramai, berzina amalan harian, rasuah sebagai sumber rezeki, fitnah untuk kenaikan pangkat, tidak menutup aurat dan sebagainya. Kemungkinan besar ia adalah hasil pengaruh agenda barat serta pertubuhan rahsia seperti Freemason dan Illuminati yang ingin menghancurkan institusi keagamaan. Tetapi perlu diingat, Al-Quran itulah perisai bagi segalanya!

Pada masa kini, selingan hampir lucah/maksiat diibaratkan 'wajib ada' untuk apa-apa sahaja program hiburan 

Sebagaimana kita sering terbaca di dada akhbar mahupun internet, kerap kali terpapar berita-berita seperti anak-anak merempit, menyertai aktiviti homoseksual, menjadi pelacur, membuang anak, mencuri, dan pelbagai lagi! Remaja-remaja tersebut bukanlah melakukannya kerana inginkan wang ringgit atau sebagainya tetapi ia disebabkan oleh imannya yang telah kosong di dalam dadanya inilah penyebab utama yang membawa manusia terjerumus ke lembah dosa dan nista.

Sudah dapat kita saksikan di zaman ini, segala jenis bentuk perjudian tersebar luas dimana-mana sahaja, hampir kesemua lapisan masyarakat boleh berjudi, dari tingkat atas sehinggalah ke tingkat paling bawah. Bermula dari penduduk di bandar sehingga penduduk di desa, dari pegawai-pegawai tinggi kerajaan sehingga ke penarik beca, sehingga ke pedagang kecil sehingga ke pak tani.

Lihatlah sahaja permainan yang melibatkan pertaruhan untuk kelas bawahan seperti judi bola sepak, tikam hadiah, loteri dan sebagainya. Jika untuk kelas atasan pula, lihatlah bagaimana golongan tinggi seperti sesetengah anak menteri-menteri besar, anak raja, orang berpangkat dato’ dan sebagainya bermain judi di Singapura mahupun di Genting Highland. Malah, tiada sesiapa alim ulama yang dapat mencengahnya kerana kuasa mereka lebih tinggi.  Nah! inilah dia apa yang dikatakan Nabi dalam sabdanya, dan inilah ciri-cirinya bahawa dunia sudahpun mendekati ketibaan kiamat!

Genting Highland, pusat perjudian yang paling terkenal di Malaysia yang terselindung disebalik Taman Tema

Sebahagian lain dari tanda-tanda kiamat adalah lebih banyak jumlah kaum wanita yang menerjunkan dirinya ke lembah penzinaan samada pelacuran, bohsia mahupun bercinta hingga mendapat anak luar nikah. Kini ia terjadi dimana-mana sahaja, di eropah mahupun asia, juga di tanah air kita sendiri, sehingga alim ulama turut menanggulangi tentang masalah ini. Inilah satu masalah besar yang sukar diatasi dan dapat dikatakan satu penyakit masyarakat yang sudah sangat kronik!

Dan jika kita selidiki, sebahagian besar daripada mereka bukanlah semata-mata kerana tekanan batin atau keewangan, akan tetapi adalah kerana kerapuhan jiwa dan kelemahan Iman. Jika ditanyakan kepada wanita-wanita yang menerjunkan dirinya ke lembah perzinaan itu, bermacam-macam pula alasan yang akan diberikan oleh mereka. Maka dalam soal ini kita tidak dapat salahkan terhadap pihak wanita sahaja, kerana mereka tidak akan menjual dirinya jika tidak ada pembelinya dari pihak lelaki

Dapatlah kita membuat kesimpulan bahawa pihak lelaki itulah penyebab utamanya dunia pelacuran menjadi semakin rancak. Kita yakin, tidak semua lelaki yang mahu berbuat kejahatan seperti itu. Maka yang menjadi pokok pangkalnya adalah dari kekurangan moral oleh si lelaki itu sendiri yang menginginkan kepuasan hawa nafsu, mencari harta-harta dengan jalan yang mudah. Tidak memikirkan akibatnya akan merosakkan moral kaum ibunya sendiri serta moral bangsanya sendiri.

Tanpa pelanggan daripada kaum lelaki, industri pelacuran pasti tidak akan berkembang seperti hari ini!

Sudah terang lagi bersuluh bahawa segala faktor keruntuhan moral, budi pekerti, kehancuran iman adalah datangnya dari pihak lelaki yang tidak mempunyai rasa tanggung jawab untuk masa depan apatah lagi untuk akhiratnya. Malah kaum lelaki yang suka melakukan maksiat seperti melanggan pelacur,berjudi, minum arak adalah disebabkan mereka telah mempunyai harta yang melimpah ruah.

Sebagaimana sabda Nabi Muhammad s.a.w:

حتى يَكْثُرَفِيكمُ المَالُ فَيَفِيض
"...sehingga harta benda pada kamu melimpah ruah."

Sesungguhnya bagi orang lelaki yang telah beriman, jika mereka mendapatkan kekayaan, mereka akan mengertilah bahawa harta itu adalah ujian semata-mata dari Allah swt. Demikian pula jika mereka mendapat pangkat atau darjat dan sebagainya.

Firman Allah S.W.T. dalam surah Al-Imraan ayat 26:

قُلِ اللَّهُمَّ مَالِكَ الْمُلْكِ تُؤْتِي الْمُلْكَ مَنْ تَشَاءُ وَتَنْزِعُ الْمُلْكَ مِمَّنْ تَشَاءُ وَتُعِزُّ مَنْ تَشَاءُ وَتُذِلُّ مَنْ تَشَاءُ ۖ بِيَدِكَ الْخَيْرُ ۖ إِنَّكَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
"Katakanlah: "Wahai Tuhan Yang mempunyai kerajaan, Engkau berikan kerajaan kepada orang yang Engkau kehendaki dan Engkau cabut kerajaan dari orang yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan orang yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan orang yang Engkau kehendaki. Di tangan Engkaulah segala kebajikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu. (3:26)

Para pembaca yang budiman,

Sebagai seorang mukmin yang soleh, selagi mereka mendapat harta atau pangkat, mereka tidak akan lupa daratan. Mereka bersyukur kepada Allah swt. Mereka akan mempergunakan hartanya dengan berhati-hati, mereka akan bersedekah kepada fakir miskin dan tidak sesekali membazir membabi buta seperti membeli cincin 24juta kepada isterinya, membeli sebuah bangunan kondominium atau pendek kata membelanjakannya di jalan mubadzir, apatah lagi ke jalan maksiat.

Orang kaya yang beriman akan menganggap segala pemberian Allah swt itu hanyalah  ujian untuknya

Sebaliknya, bagi lelaki yang kurang ilmu agamanya, akan menjadi lemahlah imannya, kebetulan pula banyak hartanya, besar pula nafsu berahinya. Lalu ia tidak segan-silu membelanjakan hartanya untuk menuruti hawa nafsunya. Tentulah wanita yang akan menjadi sasarannya, maka merekalah menjadi pemangkin terhadap aktiviti pelacuran kelas atasan dan inilah akibatnya orang-orang yang mempunyai harta yang banyak, beginilah realiti zaman kita sekarang! dan inilah tanda-tandanya zaman hampir berakhir atau akhir zaman.

Di zaman kita sekarang ini, sering kali kita terlihat orang yang cepat menjadi kaya. Beberapa tahun yang lalu orang itu kelihatan hidupnya biasa sahaja, tetapi kini dia sudah menjadi kaya. Dulu dia hanya pekerja kelas bawahan, namun kini dia sudah menjadi jutawan. Dulu dia hanya petani miskin, tapi kini sudah menjadi kaya raya.

Ini menunjukan harta benda sudah melimpah ruah…


Sekian Terima Kasih


Bersambung di entri: Berita Alam Ghaib 29

My Cahaya Post – Ogos 2012 (Ramadhan)

Share:

Wednesday, 1 August 2012

Muqaddimah Tanda-Tanda Kiamat Siri 1


Berita Alam Ghaib 28: Muqaddimah Tanda-Tanda Kiamat Siri 1


Sambungan dari entri: Berita Alam Ghaib 27 (sila klik jika belum membacanya lagi)

Pembaca Yang Budiman.

Dengan membaca artikel ini, Insyaallah memadailah untuk kita menambah ilmu pengetahuan, keyakinan diri serta pengukuhan iman. Kerana beriman pada hari kiamat itu adalah salah satu daripada 6 rukun iman.

Cubalah perhatikan Firman Allah swt di dalam surah Al-Baqarah:

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ
الم
ذَٰلِكَ الْكِتَابُ لَا رَيْبَ ۛ فِيهِ ۛ هُدًى لِلْمُتَّقِينَ
الَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِالْغَيْبِ وَيُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنْفِقُونَ
وَالَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِمَا أُنْزِلَ إِلَيْكَ وَمَا أُنْزِلَ مِنْ قَبْلِكَ وَبِالْآخِرَةِ هُمْ يُوقِنُونَ
أُولَٰئِكَ عَلَىٰ هُدًى مِنْ رَبِّهِمْ ۖ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ

Alif laam miin *1 –Kitab *2 (Al Quran) ini tidak ada keraguan padanya, petunjuk bagi mereka yang bertaqwa, *3 (iaitu) mereka yang beriman *4 kepada yang ghaib, *5 yang mendirikan solat, *6 dan - menafkahkan sebahagian rezeki *7 yang Kami anugerahkan kepada mereka, -dan mereka yang beriman kepada Kitab (Al Quran) yang telah diturunkan kepadamu dan -Kitab-kitab yang telah diturunkan sebelummu, *8 serta mereka yakin akan adanya (kehidupan) akhirat. *9 -Mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk dari Tuhan mereka, dan merekalah orang-orang yang beruntung.*10

*1: Ialah huruf-huruf abjad yang terletak pada permulaan sebahagian dari surah-surah Al-Quran seperti: alif laam miim, alif laam raa, alif laam miim shaad dan sebagainya. Diantara ahli-ahli tafsir ada yang menyerahkan pengertiannya kepada Allah kerana dipandang termasuk ayat-ayat mutasyaabihaat, dan ada pula yang menafsirkannya. Golongan yang menafsirkannya ada yang memandangnya sebagai nama surah, dan ada pula yang berpendapat bahawa huruf-huruf abjad itu gunanya untuk menarik perhatian para pendengar supaya memperhatikan Al-Quran itu, dan untuk mengisyaratkan bahawa Al-Quran itu diturunkan dari Allah dalam bahasa Arab yang tersusun dari huruf-huruf abjad. Kalau mereka tidak percaya bahawa Al-Quran itu diturunkan dari Allah dan hanya rekaan Nabi Muhammad saw semata-mata, maka cubalah mereka buat sendiri Al Quran itu.

*2: Tuhan menamakan Al-Quran dengan nama Al Kitab maknanya adalah "yang ditulis", sebagai isyarat bahawa Al-Quran itu diperintahkan untuk ditulis.

*3: Takwa iaitu memelihara diri dari seksaan Allah dengan mengikuti segala perintah-perintah-Nya, dan menjauhi segala larangan-larangan-Nya, tidak cukup diertikan dengan takut sahaja.

Iman dan Taqwa adalah memelihara diri dan menyerahkan jiwa kepada Allah swt

*4: Iman ialah kepercayaan yang teguh yang disertai dengan ketundukan dan penyerahan jiwa. Tanda-tanda adanya iman ialah mengerjakan apa yang dikehendaki oleh iman itu.

*5: Yang ghaib ialah yang tak dapat dikesan oleh pancaindera. Percaya kepada yang ghaib iaitu, mengiktikadkan adanya sesuatu "yang maujud" yang tidak dapat dikesan oleh pancaindera, kerana ada dalil yang menunjukkan iainya ada, seperti wujudnya Allah swt, Malaikat-Malaikat, hari akhirat dan sebagainya.

*6: Solat menurut bahasa Arab adalah doa. Menurut istilah syarak ialah ibadat yang sudah dikenal, yang dimulai dengan takbir dan disudahi dengan salam, yang dikerjakan untuk membuktikan pengabdian dan kerendahan diri kepada Allah swt. Mendirikan solat ialah menunaikannya dengan teratur, dengan melangkapi syarat-syarat, rukun-rukun dan adab-adabnya, baik yang zahir ataupun yang batin, seperti khusuk, memperhatikan apa yang dibaca dan sebagainya.

*7: Rezeki: segala yang dapat diambil manfaatnya. Menafkahkan sebahagian rezeki, ialah memberikan sebahagian dari harta yang telah direzekikan oleh Tuhan kepada orang-orang yang disyariatkan oleh agama memberinya, seperti orang-orang fakir, orang-orang miskin, kaum kerabat, anak-anak yatim dan sebagainya.

*8: Kitab-kitab yang telah diturunkan sebelum Muhammad s.a.w. ialah kitab-kitab yang diturunkan sebelum Al-Quran seperti: Taurat, Zabur, Injil dan Shuhuf-Shuhuf yang tersebut dalam Al-Quran yang diturunkan kepada para Rasul. Allah menurunkan Kitab kepada Rasul ialah dengan memberikan wahyu kepada Jibril a.s., lalu Jibril menyampaikannya kepada Rasul.

*9: Yakin ialah kepercayaan yang kuat dengan tidak dicampuri sedikitpun keraguan. Akhirat lawan dunia. Kehidupan akhirat ialah kehidupan sesudah dunia berakhir. Yakin akan adanya kehidupan akhirat ialah benar-benar percaya akan adanya kehidupan sesudah dunia berakhir.

*10: Ialah orang-orang yang mendapat apa-apa yang dimohonkannya kepada Allah sesudah mengusahakannya.

Al-Quran, kitab yang teragung sepanjang zaman

Demikianlah keterangan surah Al-baqarah dari ayat 1 sehingga ayat 5, dan perhatikan pula surah Al-Hajj ayat 1 sehingga ayat 2:

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ
يَا أَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا رَبَّكُمْ ۚ إِنَّ زَلْزَلَةَ السَّاعَةِ شَيْءٌ عَظِيمٌ
يَوْمَ تَرَوْنَهَا تَذْهَلُ كُلُّ مُرْضِعَةٍ عَمَّا أَرْضَعَتْ وَتَضَعُ كُلُّ ذَاتِ حَمْلٍ حَمْلَهَا وَتَرَى النَّاسَ سُكَارَىٰ وَمَا هُمْ بِسُكَارَىٰ وَلَٰكِنَّ عَذَابَ اللَّهِ شَدِيدٌ
"Hai manusia, bertakwalah kepada Tuhanmu, sesungguhnya kegoncangan hari kiamat itu adalah suatu kejadian yang sangat besar (dahsyat). (Ingatlah) pada hari (ketika) kamu melihat kegoncangan itu, lalailah semua wanita yang menyusui anaknya dari anak yang disusuinya dan gugurlah kandungan segala wanita yang hamil, dan kamu lihat manusia dalam keadaan mabuk, padahal sebenarnya mereka tidak mabuk, akan tetapi azab Allah itu sangat kerasnya."
Demikian hebatnya bencana alam ketika kiamat nanti yang akan dialami oleh seluruh umat manusia malah seluruh alam nyata. Namun masih banyak lagi tanda-tanda yang lain.

Dalam surah Al-Isra' ayat 58 Allah swt ada menerangkan:

وَإِنْ مِنْ قَرْيَةٍ إِلَّا نَحْنُ مُهْلِكُوهَا قَبْلَ يَوْمِ الْقِيَامَةِ أَوْ مُعَذِّبُوهَا عَذَابًا شَدِيدًا ۚ كَانَ ذَٰلِكَ فِي الْكِتَابِ مَسْطُورًا
"Tak ada suatu negeri pun (yang derhaka penduduknya), melainkan Kami membinasakannya sebelum hari kiamat atau Kami azab (penduduknya) dengan azab yang sangat keras. Yang demikian itu telah tertulis di dalam kitab (Luh Mahfuzh)."
Nabi Muhammad s.a.w. bersabda:

لاتقُومُ السَّاعَةُ حتى يُقْبَضَ الْعِلْمُ وَتَكْثُرَ الزلازِلُ وَيَتَقَارَبَ الزمَانُ وَتَظهَرُالفِتَنُ وَيَكْثُرَ الهَرْج وَهُوَالقتْلُ حتى يَكْثُرَفِيكمُ المَالُ فَيَفِيض

"Tidak akan pernah terjadi hari kiamat, sehingga tertahan ilmu pengetahuan, banyak terjadi gempa bumi, perjalanan waktu terasa sangat cepat, wujudnya segala macam fitnah, banyak terjadi kekacauan iaitu pembunuhan (peperangan) sehingga harta benda pada kamu melimpah ruah".

Dari sabda Nabi ini, kita akan dapat mengetahui beberapa ciri-ciri yang khas yang terdapat pada tanda-tanda hari kiamat itu. Yang dimaksudkan dengan tertahannya ilmu itu adalah tertahannya ilmu pengetahuan agama Islam, lantaran kebanyakan orang kurang meminati ilmu agama. Seperti umum, semua orang Islam mengetahui bahawa Al-Quran itu adalah dalam bahasa arab. Oleh itu, mereka tidak mungkin dapat memahami makna Al-Quran jika orang itu tidak mempelajari bahasa arab.

Jika diperhatikan, tidak ramai orang yang menaruh minat untuk mempelajari bahasa arab pada zaman sekarang ini. Meskipun ada, hanya terbatas kepada orang-orang yang tertentu sahaja seperti pelajar sekolah-sekolah agama, sekolah pondok serta pelajar universiti yang mengambil jurusan agama atau subjek bahasa ke-3.

Sering terjadinya gempa bumi menandakan usia dunia hampir berakhir

Satu lagi ciri-ciri kiamat ialah seringnya terjadi gempa bumi. Seperti yang pernah terjadi di Indonesia contohnya seperti letusan gunung merapi, gempa bumi di tengah-tengah lautan yang mengakibatkan tsunami di Acheh mahupun Jepun. Ia boleh diibaratkan seperti orang yang sudah tua, sering menderita kesakitan, sering terbatuk-batuk yang tidak berhentinya. Maka bumi kita ini sememangnya sudah tua usianya, bumi sudah mulai terbatuk-batuk menandakan ajal sudah dekat. Itulah tanda iaitu seringnya terjadi gunung berapi yang selalu terbatuk-batuk memuntahkan isi perutnya.

Kemudian selain dari itu, kini lahirlah pelbagai macam fitnah, tuduh menuduh, silih menjatuhkan, perebutan kuasa memerintah dan sebagainya. Lihat sahajalah senario politik diseluruh dunia, sangat dahsyat keadaan fitnahnya. Pembunuhan Osama bin laden, fitnah liwat Anwar Ibrahim di Malaysia, fitnah Al-Arqam itu pertubuhan sesat, fitnah di Syria, Lubnan dan sebagainya

Banyak terjadi pembunuhan, perompakan, pemerkosaan, penipuan, rusuhan kaum antara golongan dengan golongan yang lain. Peperangan yang tidak henti-henti dimana-mana sahaja seperti di palestin, selatan Thailand, Myanmar, Syria, Lubnan, dan banyak lagi. Di samping itu harta benda juga saling melimpah ruah, orang pada masa kini sibuk membangunkan gedung-gedung atau pusat perniagaan yang megah dan juga hampir kesemua penduduk di bumi ini mempunyai kenderaan sendiri seperti kereta dan sebagainya. Inilah tandanya zaman mutaakhir atau akhir zaman.

Nabi Muhammad s.a.w. bersabda pula:

"Sesungguhnya daripada tanda-tanda kiamat bahawa, diangkatnya ilmu pengetahuan, tersebar tetap kejahilan (buta agama), diminumnya arak, pelacuran terang-terangan, lebih banyak kaum wanita, sedikit kaum lelaki, sehingga dapat dibandingkan nisbah 50 orang perempuan hanya seorang lelaki”

Sekian Terima Kasih



My Cahaya Post – Ogos 2012 (Ramadhan)

Share:

Tuesday, 31 July 2012

Kisah Nafsu Yang Degil Pada Perintah Allah swt


Kisah Nafsu Yang Degil Pada Perintah Allah


Dalam sebuah kitab karangan 'Ustman bin Hasan bin Ahmad Asy-Syaakir Alkhaubawiyi, seorang ulama yang hidup dalam abad ke XIII Hijrah, menerangkan bahawa sesungguhnya Allah S.W.T telah menciptakan akal, maka Allah S.W.T telah berfirman yang bermaksud  Wahai akal mengadaplah engkau. Maka akal pun mengadap kehadapan Allah S.W.T, kemudian Allah S.W.T berfirman yang bermaksud  Wahai akal berbaliklah engkau!, lalu akal pun berbalik.

Kemudian Allah S.W.T. berfirman lagi yang bermaksud  Wahai akal! Siapakah aku? Lalu akal pun berkata, Engkau adalah Tuhan yang menciptakan aku dan aku adalah hamba-Mu yang daif dan lemah.

Lalu Allah S.W.T berfirman yang bermaksud  Wahai akal tidak Ku-ciptakan makhluk yang lebih mulia daripada engkau.

Setelah itu Allah S.W.T menciptakan nafsu, dan berfirman kepadanya yang bermaksud  Wahai nafsu, mengadaplah kamu!. Nafsu tidak menjawab sebaliknya mendiamkan diri. Kemudian Allah S.W.T berfirman lagi yang bermaksud  Siapakah engkau dan siapakah Aku. Lalu nafsu berkata, Aku adalah aku, dan Engkau adalah Engkau.

Setelah itu Allah S.W.T menyeksanya dengan neraka jahim selama 100 tahun, dan kemudian mengeluarkannya. Kemudian Allah S.W.T berfirman yang bermaksud  Siapakah engkau dan siapakah Aku. Lalu nafsu berkata, Aku adalah aku dan Engkau adalah Engkau.

Lalu Allah S.W.T menyeksa nafsu itu dalam neraka Juu' selama 100 tahun. Setelah dikeluarkan maka Allah S.W.T berfirman yang bermaksud Siapakah engkau dan siapakah Aku. Akhirnya nafsu mengakui dengan berkata,  Aku adalah hamba-Mu dan Kamu adalah tuhanku.

Dalam kitab tersebut juga diterangkan bahawa dengan sebab itulah maka Allah S.W.T mewajibkan kita berpuasa untuk melawan nafsu.

Dalam kisah ini dapatlah kita mengetahui bahawa nafsu itu adalah sangat jahat oleh itu hendaklah kita mengawal nafsu itu, jangan biarkan nafsu itu mengawal kita, sebab kalau nafsu yang mengawal kita, maka kita akan menjadi musnah malah sama dengan sifat binatang.


My Cahaya Post – Julai 2012 (Ramadhan)

Share:

Sunday, 29 July 2012

Koleksi Berita Alam Ghaib


Koleksi Berita Alam Ghaib – Sebelum Dan Sesudah Hari Kemudian


Assalamualaikum wbt...

Syukur Alhamdulillah, berita baik buat para pembaca yang dikasihi sekalian, segala entri untuk berita alam ghaib di dalam blog ini telah pun disusun mengikut 'chapter by chapter' untuk memudahkan para pembaca semua untuk membacanya. Kini para pembaca bolehlah membaca entri-entri tersebut dengan lebih mudah iaitu dengan hanya klik sahaja link-link yang telah disediakan dibawah. Untuk pengatahuan semua, koleksi Berita Alam Ghaib ini adalah hasil dari terjemahan penulis dari buku-buku luar negara yang dikarang oleh para ulama yang tersohor dan juga dipercayai.

Para pembaca yang dikasihi sekalian, koleksi Berita Alam Ghaib ini terbahagi kepada 3-bahagian iaitu bahagian-1 yang mengisahkan ‘Episod Kejadian Alam dan Kehidupan Mati’, bahagian-2 mengenai ‘Peristiwa Akhir Zaman Menjelang Kiamat’ serta akhir sekali bahagian-3 iaitu himpunan ‘Kisah Kehidupan Akhirat Yang Kekal Abadi’. Diharap setiap entri-entri di dalam Berita Alam Ghaib ini dapatlah dijadikan sebagai pedoman dan iktibar serta pemangkin untuk kita sama-sama berubah dan meningkatkan lagi keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah swt. Selamat membaca dan beramal! Sekian terima kasih.




Berita Alam Ghaib Bahagian 1


01- Asal Mula Kewujudan Alam Semesta (Klik)
02- Sejak Bilakah Bakat Manusia Ditentukan Illahi? (Klik)
03- Usia Dunia Mengikut Perspektif Islam (Klik)
04- Asalnya Hari Yang Tujuh (Klik)
05- Tujuh Ayat Hebat Yang Dinamakan Sab'ul-Matsani (Klik)
06- Asal Kejadian Malaikat Serta Tugasnya (Klik)
07- Malaikatul Maut Dan Hakikat Kematian (Klik)
08- Riwayat Nur Muhammad Kunjungi Dunia (Klik)
09- 4 Unsur Dalam Tubuh Manusia (Klik)
10- 9 Tenaga Dorongan Dalam Tubuh Manusia (Klik)
11- Riwayat Asal Kejadian Nabi Adam A.S (Klik)
12- Pernikahan Nabi Adam Di Dalam Syurga (Klik)
13- Iblis Keluar Dari Syurga (Klik)
14- Adam Dan Hawa Dikeluarkan Dari Syurga (Bahagian 1) (Klik)
14- Adam Dan Hawa Dikeluarkan Dari Syurga (Bahagian 2) (Klik)
15- Menjawab Persoalan Mengenai Maut (Klik)
16- Rupa Wajah Malaikat Ketika Mencabut Nyawa (Klik)
17- Setelah Roh Dicabut Dari Jasad (Klik)
18- Dimanakah Roh Orang yang Telah Mati? (Klik)
19- 7 Godaan Iblis Ketika Sakaratulmaut (Klik)
20- Golongan Yang Tidak Mampu Mengucap Syahadat Ketika Nazak (Klik)
21- Perhatian Siti Aisyah Terhadap Rasulullah SAW (Klik)
22- Siapakah Yang Merasai Nikmat Dan Azab Kubur? (Klik)
23- Hakikat Pembalasan Kubur! (Klik)
24- Pertanyaan Munkar Dan Nakir Dan Seksa Kubur! (Klik)
25- Riwayat Roh Melihat Jasadnya Di Dalam Kubur (Klik)
26- Riwayat Roh Menziarahi Keluarganya Di Dunia (Klik)
27- 7 Amalan Yang Pahalanya Akan Terus Mengalir (Klik)



Berita Alam Ghaib Bahagian 2


28- Mukaddimah Tanda-Tanda Kiamat Siri 1  (Klik)
28- Mukaddimah Tanda-Tanda Kiamat Siri 2 (Klik)
29- Tanda Kiamat – Bencana Alam Sering Terjadi (Klik)
30- Tanda Kiamat – Situasi Dunia Masa Kini! (Klik)

*Harap maaf, masih belum disunting oleh penulis



Berita Alam Ghaib Bahagian 3


*Harap maaf, masih belum disunting oleh penulis


My Cahaya Post – Julai 2012

Share:

Perhatian, segala entri dan 80 peratus daripada gambar-gambar yang terkandung di dalam blog ini adalah hasil dari rekaan dan idea My Cahaya Post. Gambar-gambar yang terkandung di dalam blog ini mempunyai bandwidth-nya yang tersendiri dan menyebabkan anda tidak boleh sesekali mengambil URL gambar-gambar tersebut. Jika anda ingin berbuat demikian, sila download gambar-gambar yang anda mahu dan upload semula di dalam blog anda. Selepas anda berbuat demikian, sila inform saya melalui ruangan komen, facebook page, email mahupun shoutbox. Sekian, terima kasih.

Bilangan Pelawat

Photobucket Photobucket Photobucket Photobucket

Entri Terlaris