• My Cahaya

    Lari Dari Kegelapan Menuju Cahaya

Thursday 29 March 2012

Pesanan Roh Terhadap Orang Yang Menguruskan Jasadnya


Pesanan Roh Terhadap Orang Yang Menguruskan Jasadnya


Apabila roh keluar dari jasad, ia akan berkata-kata dan seluruh isi alam sama ada di langit atau bumi akan mendengarnya kecuali jin dan manusia. Apabila mayat dimandikan, lalu roh berkata: "Wahai orang yang memandikan, aku minta kepadamu kerana Allah untuk melepaskan pakaianku dengan perlahan-lahan sebab pada saat ini aku beristirahat daripada seretan malaikat maut".

Selepas itu, mayat pula bersuara sambil merayu: "Wahai orang yang memandikan, janganlah engkau menuangkan airmu dalam keadaan panas.

Begitu juga jangan menuangnya dengan air yang dingin kerana tubuhku Terbakar apabila terlepasnya roh dari tubuh".

Apabila dimandikan, roh sekali lagi merayu:"Demi Allah, wahai orang Yang memandikan jangan engkau menggosok aku dengan kuat sebab tubuhku luka-luka dengan keluarnya roh".

Setelah dimandi dan dikafankan, telapak kaki mayat diikat dan ia pun memanggil-manggil dan berpesan lagi supaya jangan diikat terlalu kuat serta mengafani kepalanya kerana ingin melihat wajahnya sendiri,anak-anak, isteri atau suami buat kali terakhir kerana tidak dapat melihat lagi sampai Hari Kiamat.


Sebaik keluar dari rumah lalu ia berpesan: "Demi Allah, wahai jemaahku, aku telah meniggalkan isteriku menjadi janda. Maka janganlah kamu menyakitinya.Anak-anakku telah menjadi yatim dan janganlah kalian menyakiti mereka. Sesungguhnya pada hari itu aku telah keluar dari rumahku dan aku tidak akan dapat kembali kepada mereka buat selama-lamanya".

Sesudah mayat diletakkan pada pengusung, sekali lagi diserunya Kepada jemaah supaya jangan mempercepatkan mayatnya ke kubur selagi belum mendengar suara anak-anak dan sanak saudara buat kali terakhir.

Sesudah dibawa dan melangkah sebanyak tiga langkah dari rumah,roh Pula berpesan: "Wahai Kekasihku, wahai saudaraku dan wahai anak-anakku,Jangan kamu diperdaya dunia sebagaimana ia memperdayakan aku dan janganlah Kamu lalai ketika ini sebagaimana ia melalaikan aku".

"Sesungguhnya aku tinggalkan apa yang aku telah aku kumpulkan untuk warisku dan sedikitpun mereka tidak mahu menanggung alahanku".

"Adapun didunia,Allah menghisab aku, padahal kamu berasa senang dengan keduniaan. Dan mereka juga tidak mahu mendoakan aku".


Anwar Suran Post – Mac 2012


Share:

Apabila Kubur Mula Berkata-Kata


Apabila Kubur Mula Berkata-Kata


Dikisahkan bahawa sewaktu Fatimah r.a. meninggal dunia maka jenazahnya telah diusung oleh 4 orang, antaranya:

1.       Ali bin Abi Talib (suami Fatimah r.a)
2.       Hasan (anak Fatima r.a)
3.       Husin (anak Faimah r.a)
4.       Abu Dzafrrin Al-Ghifary r.a

Sewaktu jenazah Fatimah r.a diletakkan di tepi kubur maka Abu Dzafrrin Al-Ghifary r.a berkata kepada kubur, "Wahai kubur, tahukah kamu jenazah siapakah yang kami bawakan kepada kamu ? Jenazah yang kami bawa ini adalah Siti Fatimah az-Zahra, anak Rasulullah saw"

Maka berkata kubur, "Aku bukannya tempat bagi mereka yang berdarjat atau orang yang bernasab, adapun aku adalah tempat amal soleh, orang yang banyak amalnya maka dia akan selamat dariku, tetapi kalau orang itu tidak beramal soleh maka dia tidak akan terlepas dari aku (akan aku layan dia dengan seburuk-buruknya)."

Abu Laits as-Samarqandi berkata kalau seseorang itu hendak selamat dari siksa kubur hendaklah melazimkan empat perkara semuanya :-

1.       Hendaklah ia menjaga solatnya
2.       Hendaklah dia bersedekah
3.       Hendaklah dia membaca al-Quran
4.       Hendaklah dia memperbanyakkan membaca tasbih kerana dengan memperbanyakkan membaca tasbih, ia akan dapat menyinari kubur dan melapangkannya.

Adapun empat perkara yang harus dijauhi ialah:

1.       Jangan berdusta
2.       Jangan mengkhianat
3.       Jangan mengadu-domba (jangan suka mencucuk sana cucuk sini)
4.       Jangan kencing sambil berdiri

Kenapa perlu kencing berdiri sedangkan kita tahu air kencing itu mudah tepercik jika berdiri?

Rasulullah saw telah bersabda yang bermaksud, "Bersucilah kamu semua dari kencing, kerana sesungguhnya kebanyakan siksa kubur itu berpunca dari kencing."

Seseorang itu tidak dijamin akan terlepas dari segala macam siksaan dalam kubur, walaupun ia seorang alim ulama' atau seorang anak yang bapanya sangat dekat dengan Allah swt. Sebaliknya kubur itu tidak memandang adakah orang itu orang miskin, orang kaya, orang berkedudukan tinggi atau sebagainya, kubur akan melayan seseorang itu mengikut amal soleh yang telah dilakukan sewaktu hidupnya di dunia ini.

Jangan sekali-kali kita berfikir bahawa kita akan dapat menjawab setiap soalan yang dikemukakan oleh dua malaikat Mungkar dan Nakir dengan cara kita menghafal. Pada hari ini kalau kita berkata kepada saudara kita yang jahil takutlah kamu kepada Allah swt dan takutlah kamu kepada soalan yang akan dikemukakan ke atas kamu oleh malaikat Mungkar dan Nakir, maka mereka mungkin akan menjawab, "Ah mudah sahaja, aku boleh menghafal untuk menjawabnya."

Itu adalah kata-kata orang yang tidak berfikiran. Seseorang itu tidak akan dapat menjawab setiap soalan di alam kubur jikalau dia tidak mengamalkannya sebab yang akan menjawab ialah amalnya sendiri. Sekiranya dia rajin membaca al-Quran, maka al-Quran itu akan membelanya dan begitu juga seterusnya.


Anwar Suran Post – Mac 2012


Share:

Wednesday 28 March 2012

Permintaan Si Kaya Dan Si Miskin

 Permintaan Si Kaya dan Si Miskin


Nabi Musa a.s. memiliki umat yang jumlahnya sangat banyak dan umur mereka panjang-panjang. Mereka ada yang kaya dan juga ada yang miskin.

Suatu hari ada seorang yang miskin datang menghadap Nabi Musa a.s Ia begitu miskin sehingga pakaiannya compang-camping dan sangat lusuh berdebu. Si miskin itu kemudian berkata kepada Baginda Musa a.s:

"Ya Nabiullah, Kalamullah, tolong sampaikan kepada Allah swt permohonanku ini agar Allah swt menjadikan aku orang yang kaya."

Nabi Musa a.s. tersenyum dan berkata kepada orang itu, "Saudaraku, banyak-banyaklah kamu bersyukur kepada Allah swt"

Si miskin itu agak terkejut dan kesal, lalu ia berkata, "Bagaimana aku mahu banyak bersyukur, aku makan pun jarang sekali dan pakaian yang aku gunakan ini pun hanya satu lembar ini sahaja!" lalu si miskin itu pulang tanpa mendapatkan apa yang diinginkannya.



Beberapa waktu kemudian, seorang kaya pula datang menghadap Nabi Musa a.s. Orang tersebut bersih badannya juga rapi dan segak pakaiannya. Ia berkata kepada Nabi Musa a.s: 

"Wahai Nabiullah, tolong sampaikan kepada Allah swt permohonanku ini agar dijadikannya aku ini seorang yang miskin, kadang-kadang aku merasa terganggu dengan hartaku itu."

 Nabi Musa a.s.pun tersenyum, lalu ia berkata, "Wahai saudaraku, janganlah kamu bersyukur kepada Allah swt".

"Ya Nabiullah, bagaimana aku tidak bersyukur kepada Allah swt? Allah swt telah memberiku mata yang dengannya aku dapat melihat, telinga yang dengannya aku dapat mendengar, Allah swt telah memberiku tangan yang dengannya aku dapat bekerja dan telah memberiku kaki yang dengannya aku dapat berjalan, bagaimana mungkin aku tidak mensyukurinya", jawab si kaya itu.

Akhirnya si kaya itu pun pulang ke rumahnya. Kemudian terjadi adalah si kaya itu semakin Allah swt tambah kekayaannya kerana ia selalu bersyukur. Dan si miskin menjadi bertambah miskin. Allah swt mengambil semua kenikmatan-Nya sehingga si miskin itu tidak memiliki selembar pakaianpun yang melekat di tubuhnya. Ini semua kerana ia tidak mahu bersyukur kepada Allah swt

Pengajaran: Bagaimana teruknya keadaan diri kita, bersyukurlah kerana masih diberi kesempatan hidup di dunia ini…

Anwar Suran Post – March 2012


Share:

Monday 26 March 2012

Perhatian Siti Aisyah Terhadap Rasulullah SAW


Berita Alam Ghaib 21: Perhatian Siti Aisyah Terhadap Rasulullah SAW


Sambungan dari entri: Berita Alam Ghaib 20 (sila klik jika belum membacanya lagi)

Riwayat dari Siti Aisyah, ketika beliau sedang duduk-duduk dirumah, datanglah Nabi serta mengucap salam serta dibalas salamnya oleh Siti Aisyah sambil mahu bangun berdiri untuk menyambut Nabi Muhammad s.a.w. sebagaimana biasanya beliau menyambut kedatangan Nabi sebagai suaminya.

"Tak usah" kata Nabi. "Duduklah di tempatmu semula, kerana ada yang akan aku sampaikan kepadamu, hai Ummul-mukminin" (ibu terhadap orang-orang mukmin).

Siti Aisyah tidak jadi berdiri, beliau terus duduk disitu iaitu dilantai, lalu Nabi meletakan kepalanya ke pangkuan Siti Aisyah, terus beliau tertidur dipangkuannya, rupanya Nabi sangat letih pada hari itu. Begitulah sayangnya Nabi pada istrinya, dan demikian sayangnya Siti Aisyah kepada suaminya. Siti Aisyah pada ketika itu kira-kira berada dalam lingkungan umur 20 tahun lebih sedangkan Nabi sudah berumur 56 Tahun.

Kemudian setelah itu, Siti Aisyah merenung dalam-dalam wajah suaminya yang sedang tertidur lena dipangkuannya. Siti Aisyah membelai janggut Nabi, yang mana ternampaklah beberapa helai janggut Nabi yang sudah memutih. Jika tidak salah, sudah ada sembilan lembar yang telah memutih. Maka ketika itu terfikirlah didalam hati Siti Aisyah :

"Aduhai! Rupanya tidak lama lagi beliau akan pulang meninggalkan aku (wafat)... bagaimana kelak nanti jadinya, suatu umat tanpa Nabi? Dan bagaimanakah kelak hidupku tanpa suami?”


Seketika itu berlinanganlah air mata Siti Aisyah di pipinya, lalu jatuh berderai-derai membasahi muka Nabi.

Kerana hangatnya air mata Siti Aisyah, lantas Nabi Muhammad terjaga dan berkata dengan lemah lembut: "Wahai Ummul-mu'minin, mengapa engkau menangis, apakah gerangan yang menyebabkan engkau jadi bersedih hati?"

Kemudian Siti Aisyah menjawab dengan linangan air mata: "Terbayanglah padaku pada masa yang akan datang. Bagaimanakah bila engkau esok lusa sudah menutup mata? Dan bagaimana kelak keadaan umatmu ketika itu? Dan bagaimanakah halku nanti hidup tanpa suami yang tempat aku mencurahkan rasa cinta? Kepada siapakah aku mengadukan nasibku, suami tak ada ayahpun tak punya?"

Kemudian Nabi balik bertanya: "Apakah lagi yang engkau takutkan selain dari itu?"

Jawab Siti Aisyah: "Entahlah terserahlah engkau saja ya rasul yang dapat menerangkannya"

Kata Nabi: Sebenarnya yang lebih berasa sedih adalah si mati itu sendiri, iaitu ketika jenazah dibawa keluar dari rumahnya, dia harus berpisah dari anak isterinya, berpisah dari kaum kerabatnya. Yang lebih terasa lagi bila ia sudah berada di dalam kubur. Berasa benar-benar dirinya sudah terasing, terasalah padanya benar-benar badannya sudah mati. Matilah jasadnya sedangkan si-Roh sudahpun berada di luar badan yang tidak mungkin dia akan masuk lagi pada jasadnya itu. Ketika itu, barulah dia tersedar bahawa dia telah berada di alam yang lain dari yang lain, di suatu alam yang tersembunyi oleh pandangan mata manusia. Alam itu ialah Alam Barzakh ataupun alam kubur, ertinya alam yang tertutup dari pandangan mata"….

Sekian Terima Kasih


Bersambung di entri: Berita Alam Ghaib 22

Anwar Suran Post – Mac 2012

Share:

Sunday 25 March 2012

Golongan Yang Tidak Mampu Mengucap Syahadat Ketika Nazak


Berita Alam Ghaib 20: Golongan Yang Tidak Mampu Mengucap Syahadat Ketika Nazak


Sambungan dari entri: Berita Alam Ghaib 19 (sila klik jika belum membacanya lagi)

Pembaca yang budiman…

Adakah pembaca semua telah membaca entri mengenai: 7 Godaan Iblis Ketika Sakaratul Maut? Oleh sebab itu, ketika kita menghadapi orang yang hampir sakaratul-maut, cubalah ucapkan berulang-ulang kali ditelinganya akan kalimat " لَا إِلَٰهَ إِلَّااللَّهُ " ," لَا إِلَٰهَ إِلَّااللَّهُ " perlahan-lahan, agar si nazak dapat menuruti ucapan itu.

Seperti sabda Nabi Muhammad s.a.w :

لقِّنُوامَوتَاكُمْ بِكَلِمَةَ لَا إِلَٰهَ إِلَّااللَّهُ

"Ajarilah orang yang akan mati diantara kamu dengan ucapan : Laa ilaaha illallaah"

Menurut pandangan alim Ulama, sesungguhnya hal ini bergantung kepada peribadi orang yang sedang nazak itu sendiri ketika ia masih hidup. Meskipun diajar kalimat tauhid berulang-ulang kali, tetapi jika orang itu bukan ahli ibadat, sukarlah atasnya untuk mengucapkan kalimat "Laa ilaaha illallaah" itu.

Dapatkah orang yang hampir mati itu mengucapkan kalimatullah, jika selama hidupnya selalu membuta tuli terhadap ibadatnya?

Dapatkah orang yang hampir mati itu mengucapkan kalimatullah, jika selama hidupnya tidak ingat akan Allah?

Dapatkah orang yang hampir mati itu mengucapkan "Laa ilaaha illallaah" jika semasa hayatnya tidak mahu melaksanakan perintah Allah?

Ajarkanlah kalimat tauhid ketika melawat insan yang sedang sakaratulmaut

Oleh kerana itu penulis berharap marilah kita bersama-sama melaksanakan solat lima waktu, kerana setiap orang yang malaksanakan solat lima waktu, setiap kali kita didalam tahiyat pasti mengucapkan :

أُشْهِدُأَنْ لَا إِلَٰهَ إِلَّااللَّهُ وَأُشْهِدُأَنَّ مُحَمَّدا رَسُولُ اللَّهِ

Maka duduk membaca kalimat itu, seolah-olah kita melatih lidah, melatih jiwa supaya meresap ucapan "Laa ilaaha illallaah" sebanyak lima kali sehari. Maka apabila kita menghadapi sakaratul-maut lidah kita sudah biasa mengucapkannya.

Jadi, walaupun hadirin membantu berulang-ulang kali mengajari kalimat tauhid kepada mereka yang sedang bertarung dengan sakaratulmaut, tetapi lantaran semasa hidupnya selagi sihatnya tidak pernah melaksanakan solat lima waktu, Islam cuma menghiasi nama sahaja, maka sukarlah mereka untuk mengucapkan kalimat itu, beratlah lidahnya untuk mengucapkan dua kalimat syahadat, kerana ketika sihat walafiat pun mereka sukar menyebutnya apatah lagi ketika sedang hampir mati.

Sebetulnya ucapan kalimat syahadah adalah ucapan "Ikrar" sumpah setia seorang pemeluk Islam. Dicetuskan apa yang diyakinkan dalam hati dengan lidahnya, diiringi dengan amal ibadat solat lima waktu kerana Tuhannya.


Sekian Terima Kasih


Bersambung di entri: Berita Alam Ghaib 21

Anwar Suran Post – Mac 2012

Share:

Saturday 24 March 2012

7 Godaan Iblis Ketika Sakaratulmaut!


Berita Alam Ghaib 19: 7 Godaan Iblis Ketika Sakaratul Maut


Sambungan dari entri: Berita Alam Ghaib 18 (sila klik jika belum membacanya lagi)

Dipetik dari buku: Rasulullah saw Bertanya, Iblis Menjawab…

Syaitan dan Iblis akan sentiasa mengganggu manusia, bermula dengan memperdayakan manusia dari terjadinya dengan setitik mani hinggalah ke akhir hayat mereka, dan yang paling dahsyat ialah sewaktu akhir hayat iaitu ketika sakaratul maut. Iblis mengganggu manusia sewaktu sakaratul maut disusun menjadi 7 golongan dan rombongan. Hadith Rasulullah SAW. menerangkan:

Yang bermaksud: “Ya Allah aku berlindung dengan Engkau daripada perdayaan syaitan di waktu maut.”

Ketika seseorang itu sedang bertarung dengan sakaratulmaut, maka akan datanglah rombongan Iblis iaitu....


Rombongan 1

Akan datang Iblis dengan banyaknya dengan berbagai rupa yang pelik dan aneh seperti emas, perak dan lain-lain, serta sebagai makanan dan minuman yang lazat-lazat. Maka disebabkan orang yang di dalam sakaratul maut itu di masa hidupnya sangat tamak dan loba kepada barang-barang tersebut, maka diraba dan disentuhnya barangan Iblis itu, di waktu itu nyawanya putus dari tubuh. Inilah yang dikatakan mati yang lalai dan lupa kepada Allah SWT inilah jenis mati fasik dan munafik, ke nerakalah tempatnya.


Rombongan 2

Akan datang Iblis kepada orang yang didalam sakaratul maut itu merupakan diri sebagai rupa binatang yang di takuti seperti, Harimau, Singa, Ular dan Kala yang berbisa. Maka Apabila yang sedang didalam sakaratul maut itu memandangnya saja kepada binatang itu, maka dia pun meraung dan melompat sekuat hati. Maka seketika itu juga akan putuslah nyawa itu dari badannya, maka matinya itu disebut sebagai mati lalai dan mati dalam keadaan lupa kepada Allah SWT, matinya itu sebagai Fasik dan Munafik dan ke nerakalah tempatnya.


Rombongan 3

Akan datang Iblis mengacau dan memperdayakan orang yang di dalam sakaratul maut itu dengan merupakan dirinya kepada binatang yang menjadi minat kepada orang yang hendak mati itu, kalau orang yang hendak mati itu berminat kepada burung, maka dirupai dengan burung, dan jika dia minat dengan Kuda lumba untuk berjudi, maka dirupakan dengan Kuda lumba (judi). Jika dia minat dengan dengan ayam sabung, maka dirupakan dengan ayam sabung yang cantik. Apabila tangan orang yang hendak mati itu meraba-raba kepada binatang kesayangan itu dan waktu tengah meraba-raba itu dia pun mati, maka matinya itu di dalam golongan yang lalai dan lupa kepada Allah SWT. Matinya itu mati Fasik dan Munafik, maka nerakalah tempatnya.


Rombongan 4

Akan datang Iblis merupakan dirinya sebagai rupa yang paling dibenci oleh orang yang akan mati, seperti musuhnya ketika hidupnya dahulu maka orang yang di dalam sakaratul maut itu akan menggerakkan dirinya untuk melakukan sesuatu kepada musuh yang dibencinya itu. Maka sewaktu itulah maut pun datang dan matilah ia sebagai mati Fasik dan Munafik, dan nerakalah tempatnya


Rombongan 5

Akan datang Iblis merupakan dirinya dengan rupa sanak-saudara yang hendak mati itu, seperi ayah ibunya dengan membawa makanan dan minuman, sedangkan orang yang di dalam sakaratul maut itu sangat mengharapkan minuman dan makanan lalu dia pun menghulurkan tangannya untuk mengambil makanan dan minuman yang dibawa oleh si ayah dan si ibu yang dirupai oleh Iblis, berkata dengan rayu-merayu “Wahai anakku inilah sahaja makanan dan bekalan yang kami bawakan untukmu dan berjanjilah bahawa engkau akan menurut kami dan menyembah Tuhan yang kami sembah, supaya kita tidak lagi bercerai dan marilah bersama kami masuk ke dalam syurga.” Maka dia pun sudi mengikut pelawaan itu dengan tanpa berfikir lagi, ketika itu waktu matinya pun sampai maka matilah dia di dalam keadaan kafir, kekal ia di dalam neraka dan terhapuslah semua amal kebajikan semasa hidupnya.


Rombongan 6

Akan datanglah Iblis merupakan dirinya sebagai ulamak-ulamak yang membawa banyak kitab-kitab, lalu berkata ia: “Wahai muridku, lamalah sudah kami menunggu akan dikau, berbagai ceruk telah kami pergi, rupanya kamu sedang sakit di sini, oleh itu kami bawakan kepada kamu doktor dan bomoh bersama dengan ubat untukmu.” Lalu diminumnya ubat, itu maka hilanglah rasa penyakit itu, kemudian penyakit itu datang kembali. Lalu datanglah pula Iblis yang menyerupai ulamak dengan berkata: “Kali ini kami datang kepadamu untuk memberi nasihat agar kamu mati didalam keadaan baik, tahukah kamu bagaimana hakikat Allah?” Berkata orang yang sedang dalam sakaratul maut: “Aku tidak tahu.” Berkata ulamak Iblis: “Ketahuilah, aku ini adalah seorang ulamak yang tinggi dan hebat, baru sahaja kembali dari alam ghaib dan telah mendapat syurga yang tinggi.

Cubalah kamu lihat syurga yang telah disediakan untukmu, kalau kamu hendak mengetahui Zat Allah SWT hendaklah kamu patuh kepada kami.” Ketika itu orang yang dalam sakaratul maut itu pun memandang ke kanan dan ke kiri, dan dilihatnya sanak-saudaranya semuanya berada di dalam kesenangan syurga, (syurga palsu yang dibentangkan oleh Iblis bagi tujuan mengacau orang yang sedang dalam sakaratul maut). Kemudian orang yang sedang dalam sakaratul maut itu bertanya kepada ulamak palsu: “Bagaimanakah Zat Allah?” Iblis merasa gembira apabila jeratnya mengena. Lalu berkata ulamak palsu: “Tunggu, sebentar lagi dinding dan tirai akan dibuka kepadamu.” Apabila tirai dibuka selapis demi selapis tirai yang berwarna warni itu, maka orang yang dalam sakaratul maut itu pun dapat melihat satu benda yang sangat besar, seolah-olah lebih besar dari langit dan bumi.



Rombongan 7

Rombongan Iblis yang ketujuh ini Iblis terdiri dari 72 barisan sebab menjadi 72 barisan ialah kerana dia menepati Iktikad Muhammad SAW bahawa umat Muhammad akan terbahagi kepada 73 puak (barisan). Satu puak sahaja yang benar (ahli sunnah waljamaah) 72 lagi masuk ke neraka kerana sesat. Ketahuilah bahawa Iblis itu akan mengacau dan mengganggu anak Adam dengan 72 macam yang setiap satu berlain di dalam waktu manusia sakaratul maut. Oleh itu hendaklah kita mengajarkan kepada orang yang hampir meninggal dunia akan talkin Laa Ilaaha Illallah untuk menyelamatkan dirinya dari gangguan Iblis dan syaitan yang akan berusaha bersungguh-sungguh mengacau orang yang sedang dalam sakaratul maut. Bersesuaian dengan sebuah hadith yang bermaksud: “Ajarkan oleh kamu (orang yang masih hidup) kepada orang yang hampir mati itu: Laa Ilaaha Illallah.”


Bagaimanakah cara untuk kita mengelakkan diri daripada godaan Iblis yang dahsyat ketika sakaratulmaut? Dipersilakan membaca entri Berita Alam Ghaib seterusnya...


Sekian Terima Kasih


Bersambung di entri: Berita Alam Ghaib 20

Anwar Suran Post – Mac 2012

Share:

Friday 23 March 2012

Dimanakah Roh Orang Yang Telah Mati?


Berita Alam Ghaib 18: Dimanakah Roh Orang Yang Telah Mati?


Sambungan dari entri: Berita Alam Ghaib 17 (sila klik jika belum membacanya lagi)

Pembaca yang budiman…

Untuk menjawab persoalan ini, eloklah kita ikuti dahulu kisah apa yang dilihat oleh Rasul junjungan kita iaitu Nabi Muhammad s.a.w. di dalam mikrajnya. Ketika baginda menginjakkan kakinya dilangit yang pertama sehingga dilangit yang ketujuh, ketika itu:

Kata Nabi Muhammad s.a.w :

Ketika aku tiba di langit yang pertama, aku disambut baik oleh para malaikat, mereka berbaris seperti sebuah pasukan sambil memberi hormat kepadaku. Aku turut diringi oleh malaikat Jibril dan aku bertanya apakah sudah ada izin dari Allah swt? Jibril menjawab: “Ya”. Kami berdua dipersilakan masuk, seketika kami masuk aku dapat melihat seorang lelaki sedang duduk di kerusi sambil dikerumuni oleh orang ramai yang baru saja datang ketika itu. Kemudian itu, mereka berlalu pergi maka datang pula rombongan yang lain mengerumuni orang itu juga. Aku bertanya siapakah dia dan siapakah mereka itu?

Jibril berkata: "Itulah (roh) Adam a.s. dan rombongan arwah anak cucunya yang sedang datang menghadap beliau disaat itu".

Kemudian malaikat Jibril memperkenalkan aku kepada Adam a.s : "Inilah Muhammad Nabi akhir-zaman. Atas perintah dan kehendak Allah, baginda berkesempatan datang ketempat ini".

Kemudian Nabi Adam berjabat tangan denganku setelah aku mengucapkan salam.

Kata Nabi Adam : "Selamat datang anak yang soleh dan Nabi yang soleh"…

Aku lihat Nabi Adam duduk dikerusi yang indah serta memakai pakaian kebesaran laksana seorang raja. Seketika aku akan meneruskan perjalananku, beliau tidak lupa mendo'akan padaku.

Pintu syurga dan pintu neraka sentiasa terbuka (sekadar gambar hiasan)

Setelah aku meninggalkan Nabi Adam, lalu Jibril menerangkan: "Roh-roh yang masuk di pintu sebelah kanan Nabi Adam, itulah mereka yang akan masuk ke syurga. Selagi pintu itu masih terbuka, maka akan terciumlah bau harum dari arah pintu itu. Dan mereka yang masuk di pintu sebelah kirinya, itulah roh-roh anak cucu Adam yang akan masuk ke neraka, ketika pintu itu terbuka, maka akan terciumlah bau busuk dari situ”

Kemudian aku meneruskan perjalanan ke langit kedua, disana aku bertemu dengan Nabi Isa bin Maryam. Kelihatan badannya segar bugar seperti orang baru lepas mandi. Disitu aku dapat melihat roh Nabi Yahya dan Nabi Zakaria, serta roh-roh umatnya.

Dilangit ketiga aku melihat Nabi Yusof dan roh para umatnya. Dilangit keempat aku bertemu dengan Nabi Idris dan para umatnya. Dilangit kelima aku bertemu dengan Nabi Harun dan para umatnya. Dilangit keenam aku bertemu Nabi Musa dan para umatnya. Maka atas usul Nabi Musa ini solat yang tadinya 50 waktu menjadi 5 waktu sahaja.

Dan terakhir sekali dilangit yang ketujuh aku bertemu dengan Nabi Ibrahim a.s.

Demikianlah keterangan Nabi Muhammad s.a.w. Jadi kesimpulan daripada roh para nabi dan roh para umat yang telah meninggal dunia berada di langit-langit itu, jelasnya: roh-roh itu wujud seperti mana bentuk manusia sebagaimana jasad kasarnya di dunia.


Sekian Terima Kasih


Bersambung di entri: Berita Alam Ghaib 19

Anwar Suran Post – Mac 2012

Share:

Wednesday 21 March 2012

Setelah Roh Dicabut Dari Jasad


Berita Alam Ghaib 17: Setelah Roh Dicabut Dari Jasad


Sambungan dari entri: Berita Alam Ghaib: 16 (sila klik jika belum membacanya lagi)


Setelah roh dicabut dari jasad, lalu ia diserahkan kepada malaikat lain. Jika roh seseorang yang beramal soleh, maka malaikat Raqib yang akan menerima dan membawa roh itu ke hadirat Allah, dan turut dijemput dan diiringi oleh beberapa malaikat yang lain. Didoakan dan disambut dengan ucapan yang menyenangkan. Lalu dibawa menghadap ke hadirat Allah, seperti diterangkan di dalam Al-Quran Surat Al-Bayyinah ayat 8:

رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا عَنْهُ ۚ ذَٰلِكَ لِمَنْ خَشِيَ رَبَّهُ

"Allah senang dan redha terhadap mereka dan mereka pun redha kepadaNya. Yang demikian itu adalah (balasan) bagi orang yang takut kepada Tuhannya"

Kemudian buku catatan mereka itu diserahkan kepada Allah swt sebagaimana diterangkan di dalam surat At-Tahfif/Al-Mutaffifin ayat 18 sampai 22:

كَلَّا إِنَّ كِتَابَ الْأَبْرَارِ لَفِي عِلِّيِّينَ*وَمَا أَدْرَاكَ مَا عِلِّيُّونَ*كِتَابٌ مَرْقُومٌ*يَشْهَدُهُ الْمُقَرَّبُونَ*إِنَّ الْأَبْرَارَ لَفِي نَعِيمٍ

"Sekali-kali tidak, sesungguhnya kitab orang-orang yang berbakti itu (tersimpan) dalam 'Illiyyin* Tahukah kamu apakah 'Illiyyin itu?  (iaitu) kitab yang bertulis, yang disaksikan oleh malaikat-malaikat yang didekatkan (kepada Allah). Sesungguhnya orang yang berbakti itu benar-benar berada di dalam kenikmatan yang besar (syurga),"

*Illiyyin: nama kitab yang mencatat segala perbuatan orang-orang yang berbakti. "

Beruntunglah roh-roh orang yang bertaqwa kerana ia sentiasa dihormati oleh para malaikat

Demikian akhirnya roh atau nyawa orang yang soleh dan bertaqwa. Maka, bagaimana pula jika roh orang-orang yang dipenuhi dosa dan maksiat terhadap Allah?

Adapun roh orang kafir, dan orang-orang yang berdosa, selain malaikatul-maut datang dengan rupa yang ngeri dan menakutkan, ia juga mencabut nyawa orang yang berdosa itu secara paksa dan penuh kekerasan yang amat menyakitkan. Sehingga betul-betul orang itu merana kesakitan.

Setelah rohnya dicabut lalu diserahkan pula kepada malaikat Atiq dan disambut marah oleh malaikat-malaikat yang lain dengan ucapan dan kata-kata kesat termasuk cacian. Kemudian roh itu diserahkan pula ke hadirat Allah, lalu mendapat murka Allah. Kemudian buku catatan amalnya disimpan di dalam pembukuan bernama "Sijjin". Lalu roh itu ditempatkan bersama-sama roh orang-orang yang derhaka kepada Allah ditempat yang berbau busuk, suram dan gelap sambil menanti datangnya hari kiamat. Begitulah nasib orang-orang kafir dan bangsanya.


Sekian Terima Kasih


Bersambung di entri: Berita Alam Ghaib 18

Anwar Suran Post – Mac 2012

Share:

Kisah Nabi Sulaiman dan Semut


Kisah Nabi Sulaiman dan Semut


Sulaiman bin Daud adalah satu-satunya Nabi yang memperoleh keistimewaan dari Allah SWT sehingga mampu memahami bahasa binatang. Dia boleh berbicara dengan burung Hud Hud dan juga boleh memahami bahasa semut. Dalam Al-Quran surah An Naml, ayat 18-26 adalah contoh dari sebahagian ayat yang menceritakan akan keistimewaan Nabi yang sangat kaya raya ini. Firman Allah, Dan Sulaiman telah mewarisi dari Daud dan dia berkata, hai manusia, kami telah diberi pengertian tentang suara burung dan kami diberi segala sesuatu. Sesungguhnya (semua) ini benar-benar suatu kurnia yang nyata.

Dan dihimpunkan untuk Sulaiman tenteranya dari jin, manusia dan burung, lalu mereka itu diatur dengan tertib (dalam barisan) sehingga apabila mereka sampai di lembah semut berkatalah seekor semut, hai semut-semut, masuklah ke dalam sarang-sarangmu agar kamu tidak dipijak oleh nabi Sulaiman dan tenteranya, sedangkan mereka tidak menyedari.

Maka Nabi Sulaiman tersenyum dengan tertawa kerana mendengar perkataan semut itu. Katanya, Ya Rabbi, limpahkan kepadaku kurnia untuk mensyukuri nikmat-Mu yang telah Engkau anugerahkan kepadaku dan kepada kedua orang tuaku, kurniakan padaku hingga boleh mengerjakan amal yang soleh yang Engkau redhai, dan masukkan aku dengan rahmat-Mu ke dalam golongan hamba-hambaMu yang soleh. (An-Naml: 16-19)

Menurut sejumlah riwayat, pernah suatu hari Nabi Sulaiman as bertanya kepada seekor semut, “Wahai semut! Berapa banyak engkau perolehi rezeki dari Allah dalam waktu satu tahun?”

“Sebesar biji gandum,” jawabnya.

Kemudian, Nabi Sulaiman memberi semut sebiji gandum lalu memeliharanya dalam sebuah botol. Setelah genap satu tahun, Sulaiman membuka botol untuk melihat nasib si semut. Namun, didapatinya si semut hanya memakan sebahagian biji gandum itu.


“Mengapa engkau hanya memakan sebahagian dan tidak menghabiskannya?” tanya Nabi Sulaiman dengan nada kehairanan.

“Dahulu aku bertawakal dan pasrah diri kepada Allah,” jawab si semut. “Dengan tawakal kepada-Nya aku yakin bahawa Dia tidak akan melupakanku. Ketika aku berpasrah kepadamu, aku tidak yakin apakah engkau akan ingat kepadaku pada tahun berikutnya sehingga boleh memperoleh sebiji gandum lagi atau engkau akan lupa kepadaku. Kerana itu, aku harus tinggalkan sebahagian sebagai bekal tahun berikutnya.”

Nabi Sulaiman, walaupun ia sangat kaya raya, namun kekayaannya adalah nisbi dan terbatas. Yang Maha Kaya secara mutlak hanyalah Allah SWT semata-mata. Nabi Sulaiman, meskipun sangat baik dan kasih, namun yang Maha Baik dan Maha Kasih dari seluruh pengasih hanyalah Allah SWT semata. Dalam diri Nabi Sulaiman tersimpan sifat terbatas dan kenisbian yang tidak dapat dipisahkan; sementara dalam Zat Allah sifat mutlak dan absolut.

Bagaimanapun kayanya Nabi Sulaiman, dia tetap manusia biasa yang tidak boleh sepenuhnya dijadikan tempat bergantung. Bagaimana kasihnya Nabi Sulaiman, dia adalah manusia biasa yang menyimpan kedaifan-kedaifannya tersendiri. Hal itu diketahui oleh semut Nabi Sulaiman. Kerana itu, dia masih tidak percaya kepada janji Nabi Sulaiman ke atasnya. Bukan kerana khuatir Nabi Sulaiman akan ingkar janji, namun khuatir Nabi Sulaiman tidak mampu memenuhinya lantaran sifat manusiawinya. Tawakal atau berpasrah diri bulat-bulat hanyalah kepada Allah SWT semata, bukan kepada manusia.


Anwar Suran Post - Mac 2012


Share:

Perhatian, segala entri dan 80 peratus daripada gambar-gambar yang terkandung di dalam blog ini adalah hasil dari rekaan dan idea My Cahaya Post. Gambar-gambar yang terkandung di dalam blog ini mempunyai bandwidth-nya yang tersendiri dan menyebabkan anda tidak boleh sesekali mengambil URL gambar-gambar tersebut. Jika anda ingin berbuat demikian, sila download gambar-gambar yang anda mahu dan upload semula di dalam blog anda. Selepas anda berbuat demikian, sila inform saya melalui ruangan komen, facebook page, email mahupun shoutbox. Sekian, terima kasih.

Bilangan Pelawat

Photobucket Photobucket Photobucket Photobucket

Entri Terlaris