• My Cahaya

    Lari Dari Kegelapan Menuju Cahaya

Showing posts with label Petua. Show all posts
Showing posts with label Petua. Show all posts

Monday, 20 February 2012

Melalui Genetik, Manusia Mampu Jadi Genius!


Melalui Genetik, Semua Insan Mampu Jadi Genius!


Dari hasil kajian neurologi, otak manusia mempunyai 1 trilion dan juga 100 bilion sel aktif. Setiap sel itu mampu membuat jaringan sehingga 20000 sambungan setiap saat.

Dengan keadaan yang seperti itu, seorang master trainer dari Brains Power, I.Widiatmoko mengatakan, "Apabila semua maklumat seluruh alam semesta ini dimasukkan ke dalam otak kita, otak kita tidak akan penuh. " Begitulah yang dikutip dari www.kompas.com yang bertarikh 20 Feb 2012.

Ibnu Batutta adalah salah seorang tokoh Islam yang genius selain Ibnu Sina, Al-jabbar  dan lain-lain

Wujudkah manusia super genius di dunia ini?

Jawabnya adalah Nabi Adam AS, yang merupakan bapa seluruh umat manusia ...

Mampukah kita?

Soalnya beliau adalah satu-satunya makhluk, yang berjaya mempresentasikan keadaan seluruh alam semesta ini di hadapan Allah SWT. Kenyataan inilah yang membuat para malaikat amat kagum, dan mereka pun sujud kepada Adam AS dan mengagungkan kebesaran Allah SWT itu.

Kisah ini terkandung dengan jelas di dalam Surah Al-Baqarah ayat 33 - 34:

(33) "Dia (Allah) berfirman, 'Wahai Adam! Beritahukanlah kepada mereka nama-nama itu! 'Setelah dia (Adam) menyebutkan nama-namanya, Dia (Allah) berfirman,' Bukankah Aku telah katakan kepada kamu, bahawa Aku mengetahui rahsia langit dan bumi, dan Aku mengetahui apa yang kamu sembunyikan?".
(34) "Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada para malaikat, 'Sujudlah kamu kepada Adam!' Maka mereka pun sujud kecuali iblis. Ia menolak dan menyombongkan diri, dan ia termasuk golongan kafir".

Jadi kalau ada yang mengatakan bahawa kecerdasan adalah faktor bibit atau keturunan, hal itu bererti semua manusia (termasuk kita ini) mempunyai potensi untuk menjadi manusia super genius.

Harun Yahya (Adnan Okhtar) merupakan salah satu ahli falsafah moden yang amat genius

Sebenarnya struktur otak Nabi Adam AS relatif sama dengan struktur otak manusia biasa termasuk kita. Bezanya, Sang Nabi pertama itu sudah secara optimum memakai semua potensi otaknya.

Bagaimanakah dengan kita?

Berfikir pun rasa malas. Hakikatnya ramai dari kalangan kita hanya lebih suka melihat orang lain yang lebih genius sahaja. Dan dari penelitian pula, kita ini kebanyakan hanya memakai daya otak kita sebanyak 10% sahaja sepanjang hidup.

Jadi, apa yang mesti kita lakukan?

Ya, pilihan ada di tangan masing-masing. Yang jelas, orang-orang di Jepun itu memaksimumkan potensi otaknya dan mereka telah menjadi bangsa yang besar dan genius!

Hampir kesemua gadjet-gadjet yang canggih di dunia ini telah diciptakan oleh rakyat Jepun

Sejarah telah mencatatkan bahawa Jepun yang pernah dibom atom pada ketika Perang Dunia ke-II di Hirosima dan Nagasaki. Peristiwa itu telah menyebabkan kerugian dan kerosakan yang amat teruk serta nyaris melumpuhkan ekonomi Jepun secara keseluruhan. Namun tidak perlu lebih dari dua dekad, usaha yang keras dan kegigihan bangsa Jepun telah membuatnya kembali menjadi sebagai bangsa yang besar dan maju. Begitu juga dengan tsunami dashyat yang melanda negara mereka pada tahun 2011, hanya mengambil masa 2 bulan sahaja mereka mampu membersihkan kawasan yang musnah. Bahkan sehingga saat ini Jepun dianggap sebagai salah satu ikon bangsa yang maju dan berbudaya di Asia.

Jadi, semuanya terserah kepada kita. Apakah kita mahu memaksimumkan kemampuan otak kita dan menjadi orang yang berjaya atau hanya orang yang biasa-biasa saja?


Sekian Terima Kasih

Anwar Suran Post – Feb 2012

Share:

Friday, 10 February 2012

Selidiki Personaliti Anda Melalui Tulisan


Selidiki Personaliti Anda Melalui Tulisan


Cuba para pembaca sekalian perhatikan bentuk tulisan pembaca, setelah itu sila selidik personaliti pembaca melalui guideline (panduan) dibawah. Kajian ini telah dilakukan oleh Dato' Dr Haji Fadzilah Kamsah. Penulis dah pun cuba dan keputusannya amat tepat sekali.

Dato' Haji Fadzilah Kamsah

Pertama: Tekanan

i.       Tekanan yang kuat
Seseorang yang menulis dengan kuat tekanannya sehingga berbekas di bahagian belakang kertas.
(Sihat, cergas, pantas dan sedikit agresif)

ii.      Tekanan yang ringan
Seseorang yang menulis dengan lembut dan ringan dan tidak berbekas.
(Kurang bertenaga, kurang sihat dan mudah sakit)


Kedua: Bentuk Tulisan

i.       Tulisan yang bulat-bulat
Semua huruf ditulis dengan bulat.
(Emosional, prihatin, pengasih penyayang, kepekaan tinggi dan banyak memakai otak di sebelah kanan - otak kreatif)

ii.      Tulisan yang tajam-tajam atau leper-leper
Tulisan yang angular dan sharp (tajam)
(Rasional, berkerja dgn sistematik, pandai mengurus dan banyak memakai otak di sebelah kiri - otak logikal)


Ketiga: Kecondongan

i.       Condong ke kanan
Extrovert: suka bercerita, berkongsi maklumat dgn orang lain, peramah, suka campur orang, mudah memimpin, mudah menunjukkan kasih sayang, berani, pemurah

ii.      Condong ke kiri
Introvert: suka menyimpan rahsia, agak pemalu, tak suka berubah, amat setia kepada kekasih, keluarga, organisasi dan negara tetapi tak suka
campur orang

iii.     Tegak
Systematik, mudah kawal diri, suka berkawan tetapi tak cari kawan sebaliknya kawan cari dia, tak suka gaduh-gaduh, suka ambil jalan
tengah 

iv.      Campur-campur
Emosi tak tetap macam remaja yang belum cukup umur atau macam orang perempuan datang bulan (maaf)


Keempat: Kerapatan

i.       Jarang-jarang
Tak suka campur gaul dengan orang, kurang mesra dan sedikit boros.

ii.      Rapat-rapat
Suka campur orang, amat bergantung kepada orang lain, jimat atau kedekut


Kelima: Pada huruf J, G, Y, Z

i.       Ada ekor

a)       Besar, panjang dan sempurna
Tahap emosi yang dipamer itu jelas, pengasih & penyayang, pemurah, mudah kesian pada orang, mempamerkan tahap kerajinan

b)       Kecil, pendek dan tak sempurna
Tak pandai mempamerkan emosi, kurang rajin, tak pandai mempamerkan kasih sayang walaupun sayang itu banyak dalam diri


Keenam: Pada palang huruf kecil T (t)

i.       Tinggi
Tahap aspirasi tinggi

ii.      Rendah
Mudah berpuas hati, cita-cita rendah

iii.     Tengah-tengah
Usaha dan tahap pencapaian itu di tahap sederhana


Rumusan:
Tulisan dapat mencerminkan peribadi. Kita boleh menukar tulisan kita untuk mengubah peribadi dan Personaliti kita dengan sengaja supaya kita cemerlang dalam hidup.


Sekian Terima Kasih

Anwar Suran Home - Feb 2012


Share:

Monday, 6 February 2012

9 Tenaga Dorongan Dalam Tubuh Manusia



Berita Alam Ghaib 10: 9 Tenaga Dorongan Dalam Tubuh Manusia


Sambungan dari entri: 4 Unsur Dalam Tubuh Manusia (sila klik jika belum membacanya)

Firman Allah Ta'alaa dalam surat Adz-Dzaariyaat ayat 21 :

وَفِي أَنْفُسِكُمْ ۚ أَفَلَا تُبْصِرُونَ

"dan (juga) pada dirimu sendiri. Maka apakah kamu tidak memperhatikan?"

Penulis percaya, hampir semua dikalangan kita telah pun mengatahui bahawa seseorang manusia itu mempunyai tubuh kasar dan juga tubuh yang halus. Yang dinamakan tubuh kasar itu adalah yang berbentuk badan, kepala, tangan dan kaki. Dan badan kasar ini juga terdiri dari darah, daging, kulit dan tulang. Akan tetapi jika manusia cuma mempunyai tubuh kasar dan tubuh halus (roh) sahaja tanpa akal, maka sudah tentu manusia itu menjadi orang gila kerana orang gila itu sudah hilang akalnya, bukankah demikian?

Orang gila adalah orang yang sudah kehilangan akalnya
Sesungguhnya yang menjadi tenaga atau dorongan dalam diri manusia, bukan hanya akal sahaja namun sesungguhnya manusia diperlengkapi oleh Tuhan dengan pelbagai tenaga selain daripada pada roh ataupun nyawa.

Perinciannya adalah seperti berikut:

1. Jasmani
2. Roh
3. Rawan
4. Akal
5. Hawa
6. Nafsu
7. Dunia
8. Malaikat
9. Syaitan

Marilah dibawah ini kita cuba membahas satu persatu apakah gunanya dan manfaatnya dan apa karyanya masing-masing itu.

1. Jasmani adalah tubuh kasar yang menempati roh, dan gunanya roh itu adalah, menghidupi jasmani itu dari ubun-ubun kepala sehinggalah ke hujung kaki.

2. Roh (nyawa) akan menghidupi sekujur tubuh manusia dan menumbuhkan tubuh manusia semenjak ia berada di dalam kandungan ibu sehinggalah lahir ke dunia dan sampai batas ajalnya.

3. Rawan adalah pekerjaan berkhayal iaitu membayangkan sesuatu samada hal-hal belum datang ataupun hal-hal yang sudah lalu. Misalnya seorang pengarang novel, mereka dapat menghayalkan sesuatu sehingga menjadi buah penulisan, demikian juga pelukis, demikian pula orang yang sedang mabuk asmara, tergambar dan terbayang hal-hal yang mengasyikan padahal belum dialaminya lagi.

Hayal atau Rawan ini tidak terdapat pada mana-mana binatang, semua orang ada "rawan"nya tersendiri cuma kuat atau lemah sahaja bezanya dan rawan itu bertempat dalam otak manusia. Oleh kerana itulah manusia sifatnya mara ke hadapan. Kerana dia mempunyai khayal yang diterbitkan oleh rawan, sekecil-kecilnya adalah mendirikan rumah tangga.

4. Akal adalah satu nikmat pemberian Tuhan yang tidak ternilai harganya. Manusia diwajibkan beragama kerana akalnya. Akal inilah sebagai alat penerangan bagi setiap manusia. Maka dengan akal inilah manusia itu dapat memilih mana jalan yang baik dan mana jalan yang buruk. Dan dengan akal itu juga manusia mampu menimbang dan memberi keputusan, bersalahkah dia atau tidak. Maka dalam agama Islam, sangat dilarang meminum minuman keras (arak), kerana minuman itu akan merosakkan akalnya, meskipun cuma sebentar sahaja.

Mabuk arak akan mengagalkan fungsi akal manusia maka yang mengawal diri hanyalah nafsu dan rawan sahaja 
5. Hawa adalah perasaan. Tiap-tiap manusia mempunyai perasaan. Rasa senang, rasa susah, rasa puas, rasa tertekan, rasa cinta, rasa benci, rasa mulia, rasa hina dan sebagainya. Jadi orang yang tidak mempunyai perasaan samalah orang itu seperti orang yang sudah mati jiwanya.

6. Nafsu adalah keinginan. Ingin kesenangan, ingin kaya, ingin pangkat, ingin mulia, ingin kemasyhuran, ingin nama baik. Pendek kata, 1001 jenis keinginan, akan tetapi hawa dengan nafsu adalah bergandingan. Jika seseorang  itu sedang mendapat sakit, sudah tentu mereka ingin sembuh, jika sedang merasai susah tentu sekali ingin senang, jika sedang mempunyai rasa cinta, tentu sekali ingin bertemu kepada yang dicintainya, jika sedang merasa marah, ingin sahaja untuk membebel atau memukul serta pelbagai lagi.

7. Dunia adalah hobi atau kesenangan. Tiap-tiap manusia mempunyai hobi atau kesenangannya yang tertentu, tetapi hobi seseorang tidaklah serupa malah kadang-kadang berubah. Ada orang yang hobinya seperti memelihara haiwan, ada yang suka main judi, ada yang suka menulis blog (seperti penulis) dan pelbagai lagi, itulah dunia manusia. Akan tetapi hobi yang tidak terlarang dalam agama adalah halal dilakukan. Misalnya hobi mencari harta dengan jalan yang halal dengan berniaga, berusaha, bertani dan sebagainya. Dan ada juga hobi yang dilarang oleh agama umpamanya, hobi main judi, hobi mencuri, hobi menipu dan sebagainya.

Terdapat pelbagai hobi (dunia) manusia dan salah satunya adalah memancing
8. Malaikat, ramai manusia beranggapan bahawa malaikat itu jauh daripadanya padahal hakikatnya tidak sedemikian, Dia (malaikat) itu adalah dekat, sebagaimana Firman Allah dalam surat Al-Infitaar ayat 10-11 :

وَإِنَّ عَلَيْكُمْ لَحَافِظِينَ * كِرَامًا كَاتِبِينَ

"Padahal sesungguhnya bagi kamu ada (malaikat-malaikat) yang mengawasi (pekerjaanmu)". "yang mulia (di sisi Allah) dan mencatat (pekerjaan-pekerjaanmu itu)".

Kemudian, apabila kita melihat tugasnya sebagai penjaga manusia, manusia itu juga dapat meminta bantuan daripadanya seperti menjaga seseorang itu dikala tidur. Buktinya cuba kita lihat, apabila manusia itu sedang tidur sudah tentu mulutnya akan ternganga serta hidungnya dan telinganya tidak terjaga, tetapi hairan, amat jarang sekali semut atau lipas memasuki mulut mereka. Itulah tandanya manusia itu di dalam jagaan malaikat. Berdoalah sebelum tidur.

Diantara bukti yang lain adalah, cubalah ketika pembaca semua mahu tidur, ucapkanlah demikian: "Hai malaikatku, bangunkanlah aku pada jam sekian sekian untuk bangun solat tahajjud atau solat subuh". InsyaAllah pada waktunya sebagaimana yang saudara minta atau pesankan tiba-tiba mata saudara boleh terbuka sendiri pada waktu itu. Bolehlah pembaca cuba asal niatnya baik!

9. Syaitan (sifat jin yang jahat), sesungguhnya syaitan ini bukanlah jauh tempatnya, dia bukan bertempat dikawasan perkuburan atau di hutan tebal, mereka bertempat di dada manusia.

Cubalah perhatikan Firman Allah dalam Surat An-nash :

الَّذِي يُوَسْوِسُ فِي صُدُورِ النَّاسِ * مِنَ الْجِنَّةِ وَالنَّاسِ

"yang membisikkan (kejahatan) ke dalam dada manusia, dari jin dan manusia".

Maka jelas syaitan itu tempatnya di dada manusia. Cuba perhatikan ketika kita sedang sembahyang, pelbagai perasaan kita di akan digoda supaya ingat itu dan ini. Padahal sebelum kita tabiratul ihram kita tidak ingat apa-apapun. Itulah salah satu hasil pekerjaan Syaitan.

"Apakah manfaatnya syaitan itu pada diri manusia? sedangkan kita tahu kenyataannya mengganggu kekhusyukan dalam sembahyang"?

Tiap-tiap sesuatu yang Tuhan ciptakan pasti ada gunanya. Contohnya seperti api misalnya, api ini sangat besar manfaatnya bagi manusia bukan? Kita tidak akan hidup jika tanpa api. Justeru, api itupun tidak sedikitpun membuat celaka teradap manusia. Maka jika manusia tidak berhati-hati menggunakan api, nescaya boleh timbul kebakaran yang akan menjadi bahaya bagi manusia itu sendiri. Demikian pula syaitan pada diri manusia, syaitan itu asalnya jin, maka jin itu Tuhan jadikan dari api. Dan adanya syaitan dalam diri manusia adalah untuk menerbitkan amarah atau Ghodhob, sebagaimana Nabi Muhammad s.a.w. mengatakan :
"Alghodhobu minasyaithooni" ertinya "Amarah itu daripada Syaitan".
Jadi tegasnya Tuhan jadikan syaitan pada diri manusia adalah untuk menerbitkan perasaan marah manusia dan kita dapat membayangkan bagaimana jika sekiranya manusia tidak mempunyai perasaan marah? Cuma barangkali orang yang berubah akalnya (sedang mabuk) yang tidak mempunyai marah. Akan tetapi, kita boleh marah kepada orang yang melakukan kesalahan, tetapi janganlah sehingga merosakkan sesuatu atau merugikan orang lain atau merugikan diri sendiri.


Sekian Terima Kasih

Bersambung di entri: Riwayat Asal Kejadian Nabi Adam

Anwar Suran Home – Feb 2012

Share:

Sunday, 29 January 2012

Khas Buat Ibu Yang Bertuhankan Anak



Assalamualaikum wbt…


Untuk entri kali ini, penulis tujukan khas buat golongan yang sudah mempunyai anak ataupun yang bakal mempunyai anak mahupun bakal berkahwin… Kepada sesiapa yang selain dari golongan yang dinyatakan, nak baca pun tak mengapa, boleh dijadikan sebagai pengatahuan tambahan. Keseluruhan entri kali ini adalah 100% berdasarkan hasil pemerhatian penulis semenjak dari bangku sekolah sehinggalah sekarang.

Definisi ibu bertuhankan anak ialah seorang ibu yang terlalu menyanjungi, membanggai, dan mempercayai tanpa ragu-ragu 100% terhadap anaknya sedangkan anaknya bukanlah sebaik mana seperti yang disangka. Anaklah segala-galanya bagi mereka. Kalau bertemu dengan jiran ataupun sesiapa, confirm mereka akan bercerita mengenai perihal anaknya contonhya:

“kau tau tak Kak Nor, anak aku dapat 9A dalam SPM, tak sangka… dari kecik dia minat belajar tau… nak suruh dia ambil jurusan perubatanlah… boleh jaga aku sakit nanti…”

Perbualan di atas ini merupakan perbualan 'riak yang normal', baiklah kita lihat contoh yang lain...

“Kak Non nak tau tak, anak aku selalu pergi masjid tau, sampai orang masjid sayangkan dia… kadang-kadang jadi tukang azan, imam dan macam-macam la… anak Kak Non pergi masjid tak? tak nampak pun? hihihihi!”

Contoh lain yang lagi sakit jiwa!

“Anak aku yang darjah 1 tu dapat masuk kelas pertamalah huhu! Kau tau tak Yati, kelas pertama tu kelas untuk budak pandai-pandai jer tau… anak kau pulak kelas keberapa?”

Amacam? Annoying tak? Anak baru darjah 1 dah nak dibangga-banggakan… Kalau besar nanti anak makcik tu jadi sampah masyarakat camner ya? Nak sorok muka tu kat mana? Kalau masa kecik-kecik cerdik, tak semestinya bila dah besar pun cerdik ok... begitu juga sebaliknya. Jadi, berhati-hatilah kalau nak berbangga sekalipun.

Golongan yang bertuhankan anak selalunya apabila berjumpa seseorang (yang turut mempunyai anak) pasti “anak aku…” “anak aku…” “anak aku…” pot pet pot pet bangga pasal anak sampai naik panas telinga si pendengar. Makcik ingat makcik sorang jer yang ada anak? Tolonglah respect telinga orang lain ya. Kalau sekali sekala tak mengapalah, tapi kalau dah 24 jam asyik bercerita tentang anak mahu tak muak?

Ramai para ibu tidak tahu bahawa apabila bercerita mengenai anak boleh mengguris hati jiran yang mempunyai anak yang tidak berpelajaran
Ada juga yang lebih teruk daripada itu iaitu menipu pasal anak selalunya ini kerja orang kampung. Keputusan SPM anak hanya dapat cukup-cukup makan jer tapi cakap kat jiran tetangga dapat 8A 2B (contoh)… Lepas tu bila anaknya masuk kolej swasta dicakapnya pulak yang anaknya itu tak berminat untuk menyambung belajar di universiti kerajaan. Malah ada yang siap kutuk-kutuk universiti kerajaan lagi… (padahal anak dia tu yang tak layak untuk ke IPTA!). Bukannya tak boleh nak menipu tetapi menipu tu biarlah berpada-pada… Makcik ingat jiran-jiran atau kawan-kawan makcik tu bodoh sangat nak percaya menda-menda macam tu bulat-bulat? Dekat mulut bolehlah si jiran tu sebut percaya tapi dalam hati… hahahaha…

Berbual mengenai anak biarlah berpada-pada dan mempunyai batas tertentu agar tidak timbul hasad dengki
Sebenarnya penulis sangatlah memahami bahawa seorang ibu sangatlah berbangga dengan pencapaian anaknya. It’s ok, itu fitrah kerana merekalah yang mengandungkan 9 bulan, membesarkan dan berhabisan duit demi anaknya tapi biarlah berpada-pada apabila berbangga kepada jiran. Janganlah sampai jiran-jiran naik muak sehingga tak pasal-pasal anak dia yang tak bersalah pun turut sekali menjadi mangsa dibenci oleh jiran lebih-lebih lagi jiran yang anaknya ‘ala-ala kadar sahaja di dalam pelajaran’… sepatutnya kita perlu memberi mereka semangat.

Kali ini penulis ingin menyentuh mengenai perihal anak-anak di sekolah pula. Kadang-kadang ada pelajar-pelajar yang tidak boleh disentuh langsung oleh guru-guru mereka kerana bimbang ibu bapanya akan datang menyerang! Kadang-kadang sehingga riuh sekampung! Banyak kali juga penulis membaca mengenai perkara ini di dalam media-media. Subhanallah… kenapa jadi sampai begitu sekali ibu-bapa zaman i-phone 4 ini? Takkan tidak boleh disentuh langsung anaknya itu? Kenapa nak jadikan anak itu berlagak? Kesian kat anak tu dibesarkan untuk menjadi berlagak, manja dan jahat dibelakang ibu bapa.

Adakah ibu bapa tahu sifat anaknya di sekolah? Ataupun buat -buat tahu?
Tolonglah wahai pakcik-makcik… pakcik-makcik tahu ke perangai anak pakcik-makcik kat sekolah tu? Pakcik-makcik ada pasang CCTV ke kat badan anak pakcik-makcik? Pakcik-makcik tahu ke yang anak pakcik-makcik itu pagi-pagi tiru kerja sekolah kawan-kawan sementara menanti guru masuk? Tahu ke yang anak pakcik-makcik tu suka tengok menda-menda lucah dan bluetooth dalam hanfon kawan-kawan? Tahu ke yang anak pakcik-makcik suka mengacau budak-budak perempuan? Last sekali… Pakcik-makcik tahu ke yang anak makcik tu merosot dalam pelajaran disebabkan sifatnya sendiri yang malas belajar tapi suka cakap besar? Jadi, sebab itulah anak pakcik-makcik dibedal ok, mesti ada alasan punya! Kecuali dalam sesetengah kes sahaja yang guru itu bermasalah tapi peratusannya kecil je.

Penulis pun pernah bersekolah ok… kebanyakkan kawan-kawan penulis yang ibu-bapanya suka datang ke sekolah untuk menyerang guru-guru, perangai mereka sekarang ini sangat pelik sehinggakan penulis sendiri pun tidak dapat nak menghuraikannya. Tapi yang penting kawan penulis itu sekarang ini memang berperangai pelik (rasa macam nak remove jer dari list friend facebook tapi tak sampai hati).

Baiklah, dibawah ini penulis ada senaraikan diantara kesan-kesan apabila si ibu terlalu berbangga dengan pencapaian anak mereka dan riuh sekampung macam ayam nak bertelur dengan jiran-jiran tertangga…

-Anak akan jadi stress sebab si ibu asyik puji anak dekat jiran-jiran
-Si ibu mendapat dosa kerana riak
-Hubungan silaturrahim ibu sesama jiran-jiran mahupun kawan-kawan semakin renggang
-Ibu akan dijadikan bahan umpatan
-Kadang-kadang anak yang tak bersalah turut menjadi mangsa pandangan sinis jiran tetangga
-Jiran akan berhasad dengki dengan anaknya dan suka melihat anaknya ‘JATUH’!
-Pernah terjadi kes dimana keluarga itu disantau kerana berlagak sangat mengenai anaknya…

Jadi beringatlah bahawa sifat ‘bertuhankan anak’ membawa lebih banyak keburukkan berbanding kebaikkannya. Kalau boleh jauhilah atau berpada-padalah janganlah sehingga mencemarkan institusi kejiranan anda. Anda juga yang susah bukan?

Sifat saling menjaga hati jiran tetangga merupakan salah satu sifat yang amat terpuji

Penulis memohon jutaan kemaafan kerana ada terkasar bahasa… tetapi pandangan penulis ini adalah jujur dari hati yang dalam. Jika anda mempunyai jiran yang bertuhankan anak, jangan teragak-agak lagi untuk share entri ini di facebook anda!

Sekian terima kasih.

Anwar Suran Home – Jan 2012

Share:

Perhatian, segala entri dan 80 peratus daripada gambar-gambar yang terkandung di dalam blog ini adalah hasil dari rekaan dan idea My Cahaya Post. Gambar-gambar yang terkandung di dalam blog ini mempunyai bandwidth-nya yang tersendiri dan menyebabkan anda tidak boleh sesekali mengambil URL gambar-gambar tersebut. Jika anda ingin berbuat demikian, sila download gambar-gambar yang anda mahu dan upload semula di dalam blog anda. Selepas anda berbuat demikian, sila inform saya melalui ruangan komen, facebook page, email mahupun shoutbox. Sekian, terima kasih.

Bilangan Pelawat

Photobucket Photobucket Photobucket Photobucket

Entri Terlaris