• My Cahaya

    Lari Dari Kegelapan Menuju Cahaya

Wednesday, 25 July 2012

Riwayat Roh Melihat Jasadnya Di Dalam Kubur


Berita Alam Ghaib 25: Riwayat Roh Melihat Jasadnya Di Dalam Kubur


Sambungan dari entri: Berita Alam Ghaib 24 (sila klik jika belum membacanya lagi)

Setelah tiga hari jasad kasar si mati membujur kaku di dalam kubur, roh meminta izin kepada Allah swt untuk melihat jasadnya di dalam kubur. Setelah mendapat keizinan daripada Allah swt, maka turunlah roh itu ke bumi lantas menuju ke tapak perkuburan jasadnya. Lalu roh itu berdiri benar-benar dipinggir kuburnya, meskipun jasadnya sudah ditimbus oleh tanah tetapi roh itu tetap dapat melihat jasadnya di dalam kubur. Maka nampaklah jasadnya yang telah kembung dan berbau serta dari telinga, hidung dan mulutnya pula mengalir air yang sangat busuk.

Sedih melihat tubuhnya sudah sedemikian rupa, lalu meratap dan menangislah roh itu sambil berkata:

"Hai tubuhku yang miskin, ingatkah kamu pada masa yang lalu? Betapa megahnya kamu di atas dunia?"

Inilah dia tempat yang amat sempit, disinilah dia tempat yang sangat gelap dan merbahaya, inilah tempat untuk menanggung segala duka. Kemudian kembalilah roh itu ke tempatnya. Lima hari kemudian, roh itu memohon lagi ke hadhirat Allah swt untuk melihat jasadnya. Setelah mendapat keizinan, pergilah ia turun ke bumi untuk melihat kuburnya. Dilihatnya kini jasadnya semakin membusuk dan sudah berulat, ia berdiri di pinggir kuburnya sambil meratap sepuas hati, lalu pulang ke tempatnya.

Apabila kita meninggal dunia, jasad kita sama sahaja dengan orang lain tidak kiralah pangkat apa sekalipun

Kemudian sesudah tujuh hari, roh itu kembali meminta izin kepada Allah swt untuk melihat jasadnya lagi. Lalu ia turun ke bumi dan berdiri di pinggir kuburnya, dilihat tubuhnya sudah mulai hancur, dagingnya pula turut membusuk dan dimamah ulat. Keadaan roh itu melihat jasadnya sedemikian rupa, samalah seperti orang yang sedang melihat rumahnya yang ditinggalkan. Betapa sedihnya, jikalau dahulu rumahnya indah, mewah dan cantik tetapi kini setelah ia tinggalkan lalu menjadi hancur berantakan dimakan ulat.

Katanya:
"Ya jasadku yang hina, beginilah jadinya keadaanmu, selama aku berpisah darimu, manakah anak isterimu yang kamu sayangi? Dimanakah hartamu yang sangat dicintai? Dimanakah sahabatmu yang kamu kagumi?”

Setelah itu ia kembali ketempatnya...


Sekian Terima Kasih


Bersambung di entri: Berita Alam Ghaib 26

Anwar Suran Post – Julai 2012 (Ramadhan)


Share:

Pertanyaan Munkar Dan Nakir Dan Seksa Kubur!


Berita Alam Ghaib 24: Pertanyaan Munkar Dan Nakir Dan Seksa Kubur


Sambungan dari entri: Berita Alam Ghaib 23 (sila klik jika belum membacanya lagi)

Seseorang yang baru masuk ke alam kubur, maka dikala itulah dia akan terkenang akan perbuatannya yang lalu. Teringatlah dia akan dosa-dosanya, menyesallah dia akan perbuatan dirinya, mengapa dia selalu menuruti hawa nafsunya? Mengapa dia berlengah-lengah sahaja? mengapa dia tidak mahu segera bertaubat? padahal suara hatinya yang suci dalam dirinya selalu memberikan peringatan. Sudah terlalu banyak contoh tauladan, ibu dan bapa yang telah meninggal dunia, tua muda, kecil dan besar tidak terkecuali. Kadang-kadang dirinya sendiri pernah melawat ke tanah perkuburan. Tetapi hal itu dianggap ‘biasa-biasa’ sahaja, tidaklah diambil perhatian.

أَلْهَاكُمُ التَّكَاثُرُ * حَتَّىٰ زُرْتُمُ الْمَقَابِرَ * كَلَّا سَوْفَ تَعْلَمُونَ * ثُمَّ كَلَّا سَوْفَ تَعْلَمُونَ * كَلَّا لَوْ تَعْلَمُونَ عِلْمَ الْيَقِينِ * لَتَرَوُنَّ الْجَحِيمَ * ثُمَّ لَتَرَوُنَّهَا عَيْنَ الْيَقِينِ * ثُمَّ لَتُسْأَلُنَّ يَوْمَئِذٍ عَنِ النَّعِيمِ
Bermegah-megahan telah melalaikan kamu *1 -Sampai kamu masuk ke dalam kubur -Janganlah begitu, kelak kamu akan mengetahui (akibat perbuatanmu itu) -Dan janganlah begitu, jika kamu mengetahui dengan pengetahuan yang yakin -Nescaya kamu benar-benar akan melihat neraka Jahiim -Dan sesungguhnya kamu benar-benar akan melihatnya dengan 'ainul yaqin *2 - Kemudian kamu pasti akan ditanya pada hari itu tentang kenikmatan (yang kamu megah-megahkan di dunia itu).
*1: Maksudnya: bermegah-megahan dalam soal banyak harta, anak, pengikut, kemuliaan, dan seumpamanya telah melalaikan kamu dari ketaatan.
*2: 'Ainul yaqin ertinya melihat dengan mata kepala sendiri sehingga menimbulkan keyakinan yang kuat.

Kini dia sedang mengalami dengan saksi matanya yang yakin, kini benar-benar kenyataan dirinya sendiri mengalami alam kubur.

Setelah meninggal dunia, segala penyesalan di dunia sudah pun terlambat!

"Amboi, alangkah dungunya aku! Alangkah bebalnya diriku! Hidupku di dunia hanya menuruti kehendak nafsuku! oh syaitan! betul-betul terkutuklah engkau! engkau telah memperdayakan aku. Semasa dia terpaku dalam kebingungan, ketakutan dan kekuatiran! Maka timbullah penyesalan yang sangat besar. Dalam perasaan yang penuh penyesalan itu, tiba-tiba dilihatnya dua makhluk raksasa yang entah dari mana munculnya lalu datang menghampirinya. Seram, hebat rupanya dan menakutkan sehingga rasa nak tercabut sendi dan tulangnya dan terbang semangatnya.

"Hai insan yang derhaka!"
"Sekarang giliranmu untuk menjawab pertanyaan kami, bersiaplah engkau menjawabnya!"
"Siapakah Tuhanmu?"
"Siapakah Nabimu?"
"Apa agamamu?"
"Apa kitabmu?"
"Dimana kiblatmu?"
"Dan siapakah saudaramu?"

Mendengar pertanyaan malaikat Munkar dan Nakir sedemikian, ia menjadi sangat gugup. Bibirnya gementar, terasa berat bibirnya untuk menjawab "Allah Tuhanku" kerana selama hidupnya di dunia dia tidak pernah mengingati "Allah", bibirnya tidak pernah mengucapkan "Kalimat Allah", kerana dia telah meninggalkan solat lima waktu.

Amalan kitalah yang akan mengawal mulut kita semasa menjawab pertanyaan Malaikat!

Hendak mengaku “Muhammad Nabiku”, lidah pula terasa berat untuk mengucapkannya kerana semasa hayatnya tidak pernah mengucapkan kalimat Shahadat dan Selawat. Untuk menjawab “kaa'bah kiblatku” pun tetap sama, meskipun hatinya tahu, namun mulutnya seolah-olah berat untuk menjawabnya, kerana dia tidak pernah menghadap kiblat, lantaran dia tidak pernah solat! Dan begitu juga terhadap pertanyaan-pertanyaan yang lain, dia tidak mampu lagi menjawabnya! pendek kata semua pertanyaan-pertanyaan itu tidak dapat dijawabnya.

Malaikat Munkar dan Nakir menjadi teramat murka! Seketika itu, ia mengangkat cambuknya lalu…

Tar! Tar! Tar!!

Terimalah hadiah dari kami!"

Seketika itu, menghentamlah cambuk malaikat itu ke tubuhnya bertubi-tubi seribu kali cambukan lalu terbenam tubuhnya sehingga 7 petala bumi. Dia memekik melolong, menjerit kesakitan, akan tetapi kedua-dua malaikat itu tidak merasa belas kasihan langsung, dihentamnya lagi cambuk itu berkali-kali sehinggalah dia pengsan tidak sedarkan diri lagi!

Setelah ia tersedar, malaikat itu sudah pun berlalu pergi. Aduh sakitnya! Sekujur tubuhnya yang kelihatan amat mengerikan, bekas luka cambuk nampak berjurai-jurai pada tubuhnya. Begitulah nasib untuk orang yang meninggalkan sembahyang, dan begitulah juga nasib untuk orang yang gemar membuat dosa!

Kemudian tidak berapa lama selepas itu, muncullah sesusuk tubuh makhluk yang keji rupanya dan menjijikan! Tubuhnya dipenuhi najis serta kudis-kudis yang buruk! Dari kudis-kudisnya itu mengalirlah nanah pekat dan darah yang sangat busuk baunya, pakaiannya selekeh, compang-camping dan sangatlah berbau bangkai.

Orang yang gemar melakukan maksiat akan ditemani oleh 'amalan dirinya' yang jijik di alam kubur!

"Hei siapa kamu?" kata simati, "Mengapa kamu kemari? Hei orang yang busuk!" "Apa hubunganmu dengan aku, kenapa kamu datang kemari?" "Pergilah kamu hai manusia busuk! Aku sangat jijik melihatmu!"

Kata orang busuk itu: "Hai insan derhaka! Tidak usahlah kau mengusir aku, meskipun bagaimana, tidak akan ku pergi meninggalkan engkau! Tahukah kamu, akulah amalmu! Maka kerana perbuatanmulah aku jadi sebegini jijik. Tidak satupun dari amalmu yang soleh. Hidupmu cuma menuruti hawa nafsu sahaja, penuh dengan dosa dan nista, derhaka kepada Allah Ta'alaa. Mengapa kamu jijik melihat keadaanku begini? Sedangkan ketika hidupmu tidak segan-silu berbuat amal yang keji?"

"Mengapa aku harus pergi dari sisimu? Kerana aku inilah amal perbuatanmu? Sebagaimana kamu suka beramal yang keji, maka kerana itu aku sangat cinta padamu dan tidak akan ku berpisah padamu buat selama-lamanya!"

Setelah makhluk itu mengucapkan kata-kata sedemikian, lalu melompatlah ia menjerkah orang itu serta merangkulnya sekuat-kuat hatinya!

Meskipun ia mengelupur sekuat-kuatnya untuk melepaskan diri daripadanya, tapi sia-sia sahaja. Semakin dia memberontak semakin kuatlah pelukannya.

Cubalah bayangkan, demikianlah antara lain seksaan kubur dan bermacam-macam pula lagi yang akan diterimanya seperti dibelit ular, disengat kala jengking, dimamah ulat dan lain-lain, kerana dosanya pelbagai. Dosa meninggalkan solat, dosa meninggalkan puasa, dosa tidak mengeluarkan zakat, dosa,dosa,dosa dan dosa!

Wallahu a'lam...

Sekian Terima Kasih


Bersambung di entri: Berita Alam Ghaib 25

Anwar Suran Post – Julai 2012 (Ramadhan)



Share:

Tuesday, 24 July 2012

Nama Blog Terbaru - My Cahaya Post!


Nama Terbaru Blog - My Cahaya Post!


Alhamdulillah dengan limpah kurnia dan izin dari-Nya kini blog ‘Anwar Suran Post’ telah pun ditukarkan namanya kepada ‘My Cahaya Post’. Ramai yang tertanya-tanya, apakah sebab-sebab utama penulis menukarkan nama blog ini? Baiklah, penulis cuba memberi penjelasan serba sedikit. Di antara sebab-sebabnya adalah:

1- Sempena nama penulis blog sendiri iaitu Anwar yang bermaksud Cahaya.

2- Niche atau tema utama blog penulis adalah lebih kepada Islam seperti alam ghaib, kiamat, teori konspirasi, misteri dunia, kisah Islam, tauladan dan pelbagai lagi. Jadi, setelah berbincang dengan rakan-rakan, maka nama My Cahaya Post – Lari Dari Kegelapan Menuju Cahaya’ amatlah sesuai digunakan sebagai nama untuk tema blog ini.

3- Jika nama blog ini menggunakan nama penulis sendiri iaitu ‘Anwar Suran Post’, maka ia lebih banyak membawa keburukan berbanding kebaikannya. Blog yang banyak memaparkan kisah-kisah Islam agak tidak manis menggunakan nama sendiri dikhuatiri akan menimbulkan sifat riak di dalam diri penulis.

4- Memandangkan usia penulis lagi beberapa tahun lagi akan mencecah usia 30 tahun, secara tidak langsung penulis merasakan wajarlah penulis mematangkan lagi setiap isi kandungan, nama blog dan juga entri-entri yang berada di dalam blog ini seiring dengan peningkatan usia penulis.

Penulis memohon maaf teramat sangat kerana penukaran nama blog ini sedikit sebanyak telah membawa kesulitan terhadap pembaca seperti penukaran nama baru untuk facebook like page, enjin carian google terpaksa crawl semula blog ini dari langkah pertama, juga akan kehilangan pembaca setia yang masih tidak subscribe blog ini. Penulis minta maaf sekali lagi dan penulis jamin bahawa minggu depan segalanya akan menjadi seperti sedia kala, jangan risau insyaallah!

Bonus: Baiklah, dibawah ini penulis selitkan beberapa keping gambar evolusi blog ini dari mula ia diwujudkan sehinggalah ke pertengahan tahun 2012:

Anwar Suran Home (2010) - Realiti, Fantasi, Misteri

Anwar Suran Post (2011) - Blog Personal Realiti Terkini Variasi Informasi!

My Cahaya Post (2012) - Lari Dari Kegelapan Menuju Cahaya


Sekian Terima Kasih


My Cahaya Post – Julai 2012 (Ramadhan)


Share:

Kisah Neraka Jahannam


Kisah Neraka Jahannam


Dikisahkan dalam sebuah hadis bahawa sesungguhnya neraka Jahannam itu adalah hitam gelap, tidak ada cahaya dan tidak pula ia menyala. Dan ianya memiliki 7 buah pintu dan pada setiap pintu itu terdapat 70,000 gunung, pada setiap gunung itu terdapat 70,000 lereng dari api dan pada setiap lereng itu terdapat 70,000 belahan tanah yang terdiri dari api, pada setiap belahannya pula terdapat 70,000 lembah dari api.

Dikisahkan dalam hadis tersebut bahawa pada setiap lembah itu terdapat 70,000 gudang dari api, dan pada setiap gudang itu pula terdapat 70,000 kamar dari api, pada setiap kamar itu pula terdapat 70,000 ular dan 70,000 kala Jengking, dan dikisahkan dalam hadis tersebut bahawa setiap kala itu mempunyai 70,000 ekor dan setiap ekor pula memiliki 70,000 ruas. Pada setiap ruas kala tersebut ianya mempunyai 70,000 qullah bisa.

Dalam hadis yang sama menerangkan bahawa pada hari kiamat nanti akan dibuka penutup neraka Jahannam, maka sebaik saja pintu neraka Jahannam itu terbuka, akan keluarlah asap datang mengepung mereka di sebelah kiri, lalu datang pula sebuah kumpulan asap mengepung mereka di sebelah hadapan muka mereka, serta datang kumpulan asap mengepung di atas kepala dan di belakang mereka. Dan mereka (Jin dan Manusia) apabila terpandang akan asap tersebut maka bergetarlah dan mereka berlutut dan memanggil-manggil, "Ya Tuhan kami, selamatkanlah."

Sedangkan ular yang berada di dunia ini pun cukup menggerunkan apatah lagi ular di neraka Jahannam!

Diriwayatkan bahawa sesungguhnya Rasulullah S.A.W telah bersabda: "Akan didatangkan pada hari kiamat itu neraka Jahannam, dan neraka Jahannam itu mempunyai 70,000 kendali, dan pada setiap kendali itu ditarik oleh 70,000 malaikat, dan berkenaan dengan malaikat penjaga neraka itu besarnya ada diterangkan oleh Allah S.W.T dalam surah At-Tahrim ayat 6 yang bermaksud: "Sedang penjaganya malaikat-malaikat yang kasar lagi keras".

Setiap malaikat apa yang ada di antara pundaknya adalah jarak perjalanan setahun, dan setiap satu dari mereka itu mempunyai kekuatan yang mana kalau dia memukul gunung dengan pemukul yang ada padanya, maka nescaya akan hancur lebur gunung tersebut. Dan dengan sekali pukulan saja ia akan membenamkan 70,000 ke dalam neraka Jahannam.


P/S: Adakah anda teringin untuk tinggal di dalam neraka Jahannam? Jika anda mahu, anda boleh membuat tempahannya sekarang dengan cara seperti berzina, minum arak, mencuri harta orang miskin, menfitnah, mengumpat dan juga tidak menutup aurat!


Sekian Terima kasih


My Cahaya Post – Julai 2012 (Ramadhan)


Share:

Monday, 23 July 2012

Hakikat Pembalasan Kubur!


Berita Alam Ghaib 23: Hakikat Pembalasan Kubur!


Sambungan dari entri: Berita Alam Ghaib 22 (sila klik jika belum membacanya lagi)

Kembali kita bicarakan mengenai seksa kubur atau nikmat kubur, selain daripada para Nabi dan Rasul tidak ada seorang pun yang dapat mengetahui keadaan dialam kubur atau lebih dikenali sebagai alam barzakh, kecuali Allah swt sahaja. Ini adalah kerana seksa atau nikmat kubur itu sudah pun diaturkan oleh Allah swt. Sebagaimana halnya orang yang mendapat mimpi yang baik mahupun buruk bukanlah daripada kehendak orang yang tidur itu sendiri.

Diterangkan dalam hadis, jikalau orang yang berada di alam kubur itu adalah orang yang soleh, maka ia akan menerima balasan yang baik dan itulah yang dinamakan Nikmat kubur. Setelah orang itu dapat menjawab segala pertanyaan daripada malaikat Munkar dan Nakir, maka orang itu tidak akan mendapat seksaan, kerana jawapan diberikan benar belaka, lalu malaikat itu pergi meninggalkannya.

Setelah malaikat itu pergi, tiba-tiba kedengaran pula orang datang sambil mengucapkan salam, dilihatnya orang itu benar-benar serupa dengan rupa dirinya, tetapi dia jauh lebih bagus dan memakai pakaian yang teramat cantik. Orang itu lalu bertanya: "Siapakah engkau?" Jawabnya: "Aku ini amalmu, dan aku datang kemari untuk menemanimu". Orang itu merasa girang sekali kedatangan amalnya menjadi teman, dia berasa terlalu beruntung dan baru diketahui bahawa dia telah beramal soleh selama dia hidup didunia dan mendapat kurniaan dari Tuhan, kemudian orang itu disuruh tidur seperti tidurnya pengantin baru.

Kuburnya terasa lapang dan amat lega sekali, dia berada disuatu alam yang sangat asing baginya, dia berasa tidak mati dan dia tetap hidup disitu sehinggalah tibanya hari kebangkitan iaitu akhirat.

Tiada gunanya lagi kita menyesal terhadap kesilapan yang lalu setelah kita dikebumikan

Akan tetapi bagi orang-orang derhaka, setelah orang-orang yang mengusung jenazahnya kembali beberapa langkah, si mati berasa seperti hidup kembali, ia berasa disuatu alam yang sangat asing, sunyi, sepi, seperti di alam mimpi, tapi bukan mimpi, kini telah menjadi kenyataan baginya. Sedarlah ia sekarang bahawa ia telahpun berada di alam barzakh seorang diri! Kini dia sudah terpisah dari dunia, terpisah dari keluarganya, berpisah dari semua yang dimilikinya.

Kini dia betul-betul percaya, apa yang telah didengarinya ketika hidup didunia mengenai mati. Inilah baru benar-benar dinamakan mati! Meskipun dia berasa seperti hidup, tetapi ia tidak dapat berbuat apa-apa! Meskipun ia berteriak sekuat tenaga, tetapi tidak akan dapat didengari orang! Ia dapat mendengar suara orang yang masih hidup tetapi orang yang masih hidup itu tidak dapat mendengar suaranya, dia dapat melihat orang yang masih hidup, tetapi orang yang masih hidup itu tidak dapat melihatnya. Dia seperti terkurung didalam sangkar kaca, dia dapat melihat barang disekelilingnya, tetapi dia tidak dapat bergerak ke mana-mana.

Sekarang barulah ia sedar bahawa dia telah berada di suatu alam yang ia sendiri belum kenal iaitu alam "Barzakh". Entah berapa lama ia berada disitu ia sendiri tidak tahu.


Sekian Terima Kasih


Bersambung di entri: Berita Alam Ghaib 24

Anwar Suran Post – Julai 2012


Share:

Sunday, 22 July 2012

Siapakah Yang Merasai Nikmat Dan Azab Kubur?


Berita Alam Ghaib 22: Siapakah Yang Merasai Nikmat Dan Azab Kubur?


Sambungan dari entri: Berita Alam Ghaib 21 (sila klik jika belum membacanya lagi)

Tentu para pembaca sekalian pernah tertanya-tanya, siapakah yang akan menghadapi pertanyaan dari kubur oleh malaikat Munkar dan Nakir di alam barzakh nanti? Adakah jasad kita ataupun roh kita?

Seperti yang telah diterangkan di dalam entri-entri alam ghaib sebelum ini, bahawa orang-orang yang sudah mati itu adalah kerana rohnya telahpun dicabut oleh malaikatul-maut. Roh mereka telah kembali ke hadhirat Illahi dan roh-roh itu juga akan ditempatkan di langit-langit yang pertama sehinggalah ke langit yang ketujuh, sebagaimana yang telah dibicarakan di entri berita alam ghaib ke 20. Maka, tinggallah jasadnya sahaja yang berada di dalam tanah, dan jasad ini sudah pun tidak berfungsi lagi, ianya sudah kembali ke asal iaitu asalnya mati (air mani) dan kemudian jadi mati lagi (bangkai).

Secara aqliah dan ilmiah memang mereka sudah tidak lagi berfungsi langsung, ibarat sebuah bateri yang sudah kehabisan magnet.

Jika demikian, siapakah yang akan merasai nikmat kubur dan juga siksaanya?

Dan siapakah yang menjawab pertanyaan malaikat Munkar dan Nakir?

Bagaimana pula orang mati di dalam laut? Mati di telan ular, mati terbakar, mati di dalam cairan simen dan sebagainya?

Untuk menjawab persoala ini, marilah kita sama-sama selidiki kembali bentuk dan keadaan jasad halus manusia. Yang dinamakan jasad kasar manusia adalah yang terdiri daripada darah, daging, kulit dan tulang. Tulang itu dibungkus dengan daging, maka pada daging itu mengalirnya darah dan daging itu pula dibungkus dengan kulit.

Siapaka yang akan merasai nikmat atau siksa kubur? Jasad kita ataupun roh kita? 

Maka di dalam jasad kasar itu terdapat pula pelbagai jenis jasad halus yang masing-masingnya bekerja pada fungsinya yang tersendiri:

Roh untuk menghidupkan jasad kasar,
Rawan untuk berkhayal,
Akal untuk berfikir,
Hawa budi rasa,
Nafsu, iradat (jiwa),
Malaikat hafazah, rohani yang baik,
Syaitan jahat, untuk menimbulkan amarah.
Selagi manusia itu hidup, dia sentiasa mempunyai hawa dan nafsu.

Sekarang kembali kita bicarakan perihal orang yang telah mati. Kita cuma dapat melihat jenazah yang sudah mati dan dikuburkan di dalam tanah. Adakah kita akan dapat tahu samada ahli kubur itu sedang mengalami siksa atau nikmat kubur?

kita hanya dapat mengatakan bahawa orang yang beriman dan beramal soleh sahaja akan merasai nikmat kubur. Untuk lebih jelas lagi, bayangkan kita sedang melihat orang yang sedang tidur, dimana kita dapat melihat dadanya naik turun, sambil nafasnya tercungap-cungap menyedut udara. Dapatkah kita mengetahui samada si tidur itu sedang mendapat mimpi yang baik ataupun buruk? Jawapannya adalah tidak!

Rahsia kubur hanyalah hak milik Allah swt, kita tidak mampu untuk mengetahuinya

Yang jelas kita hanya dapat melihat dia sedang tidur sahaja. Apakah yang sedang dirasa oleh jasad halus di dalam mimpinya itu? kita hanya dapat tahu keadaan mimpinya itu setelah mereka menceritakan mimpinya kepada kita sahaja.

Begitulah juga bagi orang yang telah mati, meskipun jasad kasarnya telah musnah menjadi tanah, hancur dimamah ulat atau dimakan binatang buas, akan tetapi jasad halus seperti jiwa atau perasaannya tetap hidup, tidak akan mati buat selama-lamanya. Jiwa dan perasaan si mati itulah yang akan menerima azab atau siksa kubur!

Jasad kasar manusia boleh tidur dan boleh mati, akan tetapi jasad halus manusia tetap abadi. Jiwa atau perasaan manusia tidak boleh tidur, tidak akan mati walaupun meninggal didalam letupan bom, tidak akan hancur dimakan api malah tidak akan mati buat selama-lamanya!

Begitulah Tuhan ciptakan roh itu selama-lamanya.

Menurut pendapat penulis, kerasukkan atau kemasukan jin atau syaitan yang sering terjadi terhadap kaum-kaum wanita adalah disebabkan oleh jin yang menjadi salah satu jasad halus manusia lalu mengawal jasad atau tubuh kasar manusia. Maka, berhati-hatilah.


Sekian Terima Kasih


Bersambung di entri: Berita Alam Ghaib 23

Anwar Suran Post – Julai 2012


Share:

Perhatian, segala entri dan 80 peratus daripada gambar-gambar yang terkandung di dalam blog ini adalah hasil dari rekaan dan idea My Cahaya Post. Gambar-gambar yang terkandung di dalam blog ini mempunyai bandwidth-nya yang tersendiri dan menyebabkan anda tidak boleh sesekali mengambil URL gambar-gambar tersebut. Jika anda ingin berbuat demikian, sila download gambar-gambar yang anda mahu dan upload semula di dalam blog anda. Selepas anda berbuat demikian, sila inform saya melalui ruangan komen, facebook page, email mahupun shoutbox. Sekian, terima kasih.

Bilangan Pelawat

Photobucket Photobucket Photobucket Photobucket

Entri Terlaris